Contohi perjuangan penjaja Melayu Uptown Bandar Perda – Rashid

Admin

SEBERANG JAYA – Usahawan Melayu perlu mencontohi perjuangan 75 penjaja kecil berlesen yang berjuang lebih sedekad bagi menjalankan aktiviti peniagaan di tapak terbuka Uptown Bandar Perda di sini.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon berkata demikian semasa merasmikan Majlis Perasmian Penutup Karnival Usahawan Melayu Pulau Pinang 2016, yang buat julung kalinya dianjurkan di sini, pada 8 hingga 10 April lalu.

“Sebenarnya kita (Kerajaan Negeri) memilih tapak Uptown Perda kerana kejayaan mereka bertapak di sini sejak sedekad atau lebih 10 tahun lalu.

“Modelnya adalah peniagapeniaga kecil dapat bersatu dan Kerajaan Negeri mahu memupuk budaya keusahawanan melalui peniaga-peniaga kecil ini,” katanya yang juga Exco Pembangunan Industri, Perdagangan Antarabangsa, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Perhubungan Masyarakat.

Sebelum itu, Pengerusi Penganjur Karnival, Nasoruddin Shah Mat dalam ucapannya berharap, karnival seumpama itu dapat dianjurkan di sini tiap-tiap tahun, serta di beberapa “Uptown” lain di negeri ini.

“Ini, secara tidak langsung dapat menangkis segala tohmahan yang ditujukan ke atas Kerajaan Negeri, terumanya mengenai isu penganiayaan dan penindasan terhadap peniaga-peniaga kecil serta usahawan Melayu,” jelasnya yang juga Pengerusi Koperasi Pasar Aneka Taman Selat Butterworth Berhad (KPATSBB).

Hadir sama, Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Dato’ Mohd. Salleh Man, Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri I, Amir Ghazali, Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Zulkifli Ibrahim, Pengerusi Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) Pulau Pinang, Malik Faisal Abdul Rahim, Penaung KPATSBB, Zolkifly Md. Lazim serta Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan & Keselamatan Komuniti (JKKK) Simpang Empat Permatang Batu, Azhar Mat.

Karnival berkenaan terdiri oleh 71 khemah pameran, disertai lebih 160 penjaja Melayu serta menerima hampir 20,000 pengunjung.

Pada majlis sama, Mohd. Rashid yang juga ADUN Pantai Jerejak menyampaikan sijil pengiktirafan kepada lapan tokoh usahawan Melayu atas kejayaan mereka dalam pelbagai bidang perniagaan. Mereka, Mohd. Aszuhairul Faizee Zulkiflee diberi anugerah sebagai Tokoh Usahawan Melayu Kategori Peniaga Kecil Berjaya, Zolkifly Md. Lazim (Kategori Perubatan), Mohd. Rodzi Abu Bakar (Kategori Kedai Makan), Hamzah Mat Aris (Kategori Kosmetik), Asiah Baharom (Kategori Cookies), Muhammad Firdaus Zolkifli (Kategori Bengkel Kenderaan), Suhaidi Saad (Kategori OKU) dan Khaitrul Ediana Mohd Tahir (Kategori Usahawan Kesihatan).