GTF 2016, jadikan kesenian sebagai penggerak ekonomi negeri

Admin

GEORGE TOWN – Tahun ketujuh penganjuran Festival George Town 2016 (GTF 2016) kembali lagi mulai 29 Julai hingga 28 Ogos ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, pihaknya berharap lebih ramai pelancong ke Pulau Pinang sekaligus memberi impak yang lebih besar kepada ekonomi komuniti di negeri ini.

“Lihat bagaimana unsur warisan yang terdapat di George Town Bandar Warisan Dunia UNESCO dijadikan sebagai salah satu penggerak ekonomi negeri.

“Ini adalah inisiatif Kerajaan Negeri dengan menjadikan kesenian sebagai satu lagi penggerak ekonomi, bukan hanya seni, bahkan pameran kebudayaan.

“Festival George Town (GTF) ini bukan sahaja akan membawa lebih banyak pendapatan ke Pulau Pinang, pada masa sama, menggunakan kesenian untuk menarik lebih ramai lagi pelancong ke negeri ini,” katanya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam berharap pengamal media turut membantu mempromosi acara-acara kesenian sepanjang berlangsungnya GTF 2016 tersebut.

Pada majlis sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua penaja, antaranya Penang Global Tourism (PGT), Eastern & Oriental Hotel, Singapore Airlines, China House dan banyak lagi.

Dalam pada itu Pengerusi Festival, Jeo Sidek memberitahu, acara perasmian pembukaan adalah ‘Svara Bhumi’ (Song of the Earth), serentak dengan pameran ‘A+SEAN’, iaitu paparan awam yang mempamerkan bakat besar dari negara-negara Asia Tenggara dan Australia.

Paparan awam menarik antaranya daripada pengukir kesenian kinetik dari Belanda, Theo Jansen ‘Strandbeest’,Snuff Puppets‘ dari Australia, serta konsep yang menampilkan pelbagai kumpulan muzik tempatan serta Asia Tenggara.

Tambah beliau, pengunjung GTF 2016 turut berpeluang merasai persembahan pentas menarik seperti ‘Pearl of the Eastern & Oriental’, ‘2 Houses’ arahan bersama Lim Yu-Beng dan Tan Kheng Hua, tarian ‘Moved by Padi’ diteraju oleh koreografer tempatan terkenal Aida Redza, ‘Kaash’ diterajui penari terkenal dunia Akram Khan, aksi sarkas ‘Gandini Juggling‘ dan banyak lagi.

}