COVID-19: Bertahan di zon hijau, lawan di zon merah, seru Kon Yeow

BUKIT TAMBUN – Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menegaskan bahawa kempen ‘Penang Lawan COVID-19’ masih belum menang sepenuhnya di seluruh negara, terutama di kelima-lima daerah di negeri ini.

Justeru, beliau berkata bahawa pihaknya akan terus mengambil posisi ‘bertahan’ di zon hijau dan terus ‘melawan’ di zon merah demi memutuskan semua rantaian perebakan wabak ketika pelaksanaan fasa tiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 28 April 2020.

“Jarak sosial masih menjadi strategi paling sesuai untuk memutuskan rantaian virus ini.

“Sehingga kini, Seberang Perai Selatan (SPS) merupakan daerah yang paling rendah daripada segi rekod kes iaitu 11 kes sejak mula (PKP pada 18 Mac 2020) lagi.

“Lebih satu minggu, daerah SPS tidak ada kes baru direkodkan, semua pesakit yang dirawat telahpun keluar wad sepenuhnya.

“Namun bagi Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) strategik yang dilakukan oleh mereka adalah ‘bertahan’ di zon hijau dan ‘serang’ zon merah (lokaliti berisiko bagi penularan wabak,” jelasnya dalam sidang media selepas acara mengedarkan pelitup muka kepada para penjaja kecil di Pasar Awam Bukit Tambun pada 18 April 2020 dekat sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik; ADUN Sungai Bakap, Dato’ Dr. Amar Pritpal Abdullah yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang; Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani; Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud dan beberapa Ahli Majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan turut menyertai acara turun padang tersebut.

Turut serta, Pemangku Ketua Polis Daerah SPS, Deputi Supritendan Baeyah Abdul Wahab; Ketua Polis Balai Simpang Empat dan Pengarah Suruhanjaya Bangunan (COB) MBSP, Sazila Muhamad.

KETUA Menteri (depan) diiringi Goh Choon Aik (barisan kedua, kanan), P. Kasthuriraani (barisan kedua, kiri), Sr. Rozali Mohamud (barisan kedua, tengah) serta barisan pemimpin Kerajaan Negeri lain dalam sidang media ringkas di Pasar Awam Bukit Tambun di sini pada pagi tadi.

Selepas itu, Kon Yeow bersama-sama pemimpin Kerajaan Negeri meneruskan acara mengedar pelitup muka serta pemantauan amalan PKP di Pasar Awam Taman Tasek Mutiara dalam Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Sungai Bakap.

KETUA Menteri (paling kiri) diiringi Dr. Amar Pritpal Abdullah (dua dari kiri) dan Sr. Rozali Mohamud (paling kanan) menyerahkan pek barangan keperluan asas kepada penerima, dalam majlis ringkas di kawasan kediaman rumah pangsa dekat Taman Gunung Puteri, Sungai Bakap di sini pada pagi tadi.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menyempurnakan acara serahan 300 pek bekalan keperluan asas kepada mereka yang tersenarai sebagai penerima bantuan Agenda Ekonomi Saksama (AES) serta bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, peringkat KADUN Sungai Bakap.

Ketika berucap, Kon Yeow merakamkan penghargaan kepada penduduk daerah SPS kerana menunjukkan disiplin yang tinggi dalam mematuhi PKP, sehingga kini tiada lagi kes membabitkan daerah berkenaan.

SR. Rozali Mohamud.

“Bagi orang awam, saya rasa, tanggungjawab kita adalah saling bekerjasama dengan pihak berkuasa, (iaitu) mengamalkan jarak sosial serta pembersihan diri, kerap sanitasi serta cuci tangan.

“Kita (Pihak Berkuasa Negeri) tahu bahawa dalam tempoh (PKP) ini, semua seperti terkurung di dalam rumah pangsa masing-masing, itupun bukan suatu perkara yang senang, tetapi, kita minta semua bersabar.

“Kita (JKKN) mahu satu dunia hijau, satu Malaysia hijau dan satu Pulau Pinang pun hijau,” serunya dalam majlis yang berlangsung di kawasan pangsapuri Taman Gunung Puteri, Sungai Bakap.

Serentak itu, Amar Pritpal dan Rozali turut menyampaikan ucapan ringkas dalam majlis yang dilangsungkan mengikut tatacara operasi standard (SOP) sebagaimana digariskan dalam PKP.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : DARWINA MOHD. DAUD