COVID-19 jejas ekonomi, Kerajaan Negeri teliti bantuan lanjut

Admin

TELUK BAHANG – Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan meneliti bantuan lain yang boleh diberikan kelak ekoran terjejasnya sektor ekonomi akibat penularan wabak pandemik COVID-19 yang membawa kepada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kenyataan tersebut dinyatakan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow ketika menyampaikan sumbangan kepada 20 nelayan terpilih di Sungai Pinang dekat sini petang tadi.

“Oleh kerana COVID-19 adalah krisis kesihatan awam, kita dihadkan pergerakan, maka aktiviti-aktiviti ekonomi terjejas dan kesan yang paling nyata sekali adalah pada aspek ekonomi.

“Ramai yang terjejas daripada segi pendapatan, kita tidak dapat keluar mencari rezeki, kedai-kedai perlu tutup dan terjejas, termasuk kawan-kawan di Kuala Sungai Pinang ini.

“Justeru, kita akan meneliti cara-cara bantuan seterusnya yang sedang kita (Kerajaan Negeri) kaji, dan bakal diumumkan sedikit masa lagi,” ujarnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan & Komunikasi pada majlis berkaitan.

Sumbangan berupa barangan keperluan harian tersebut merupakan peruntukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Bahang, Zolkifly Md. Lazim yang turut serta dalam program berkaitan.

Turut hadir, Exco Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan, Yeoh Soon Hin;

Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Teh Lai Heng dan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supritenden A.A. Anbalagan.

Tambah Kon Yeow, walaupun nelayan tidak dihalang ke laut, namun sektor perikanan turut terjejas daripada segi pemasaran.

“Walaupun kebenaran penangkapan (ikan) itu ada, tetapi pasaran (hasil laut) pun menjadi masalah.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri bersama-sama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menyediakan platform perdagangan elektronik yang masih membenarkan penjualan hasil laut,” jelasnya yang juga ADUN Padang Kota.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow turut menyeru rakyat negeri ini agar jangan leka walaupun Pulau Pinang tidak mencatat sebarang jangkitan kes COVID-19 dalam tempoh sembilan hari berturut-turut.

“Perjuangan ini masih belum selesai sebab ‘musuh’ ini kita tidak dapat lihat,” tegasnya.

Pada kesempatan sama, Kon Yeow turut merakamkan ucapan selamat menunaikan ibadah puasa kepada masyarakat beragama Islam yang akan bermula esok.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ALISSALA THIAN

Video : CHAN KOK KUAN