Exco bakal kemuka pelan tindakan bantu sektor hartanah negeri yang terjejas akibat wabak COVID-19

DATUK KERAMAT – Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo akan mengemukakan satu pelan tindakan segera kepada Kerajaan Negeri dalam usaha membantu sektor hartanah di Pulau Pinang yang terjejas akibat wabak COVID-19.

Menurut Jagdeep, pihaknya telah mengambil langkah awal dengan mengadakan perjumpaan dan perbincangan dengan pihak berkepentingan berkaitan.

“Saya akan mengemukakan satu pelan tindakan kepada Kerajaan Negeri dalam usaha membantu sektor hartanah negeri, di mana kesan ini bukan sahaja melibatkan para pemaju hartanah tetapi juga di pihak pembeli.

“Pembeli sekarang terjejas dari segi kapasiti dan kemampuan membeli perumahan… ia adalah elemen penting kepada saya memandangkan sejak 10 tahun lalu, perumahan mampu milik merupakan keutamaan kita (Kerajaan Negeri).

“Justeru, pelan tindakan ini akan memastikan rakyat terbanyak masih mampu untuk mendapat akses perumahan yang mampu dimiliki,” ujarnya pada Majlis Pemberian Hamper Sempena Ramadan kepada penduduk sekitar Flat Taman Free School di sini pagi tadi.

Hadir sama Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang; Dato’ Ir. Addnan Mohd. Razali (Setiausaha Bandaraya) dan R.S.N. Rayer (Ahli Parlimen Jelutong).

Jagdeep sebelum itu bersama-sama Rayer dan kakitangan MBPP mengedarkan pelitup muka kepada para penjaja dan orang ramai di sekitar Pasar Awam Taman Free School di sini pagi tadi.

Dalam perkembangan berasingan, Jagdeep turut memaklumkan bahawa dua dokumen penting hala tuju Pulau Pinang 2030 yang telah digazetkan iaitu Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2030 (RSNPP2030) dan Visi Penang2030 akan disemak semula akibat daripada pandemik COVID-19.

“Kedua-dua dokumen ini adalah hala tuju penting untuk Pulau Pinang.

“Saya telah mencadangkan kepada Kerajaan Negeri agar komponen penting di dalam kedua-dua dokumen penting ini disemak dan diberikan tumpuan semula.

“Kita (Pulau Pinang) perlu bangkit semula daripada pandemik ini, bangunkan semula ekonomi… dan Ketua Menteri telah menyambut baik cadangan untuk penyemakan semula ke atas komponen penting di dalam kedua-dua dokumen berkaitan,” jelas beliau.

Serentak itu, seperti kelaziman setiap tahun, Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat tidak lupa untuk berkongsi kegembiraan dengan penduduk yang memerlukan setiap kali Ramadan menjelang tiba.

Untuk tahun ini, beliau memperuntukkan kira-kira 1,000 buah hamper untuk diagihkan kepada sembilan Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) di sekitar Datuk Keramat.

“Selalunya pemberian hamper ini saya akan lakukan ketika bersama-sama rakyat berbuka puasa, tetapi memandangkan tahun ini kita masih di dalam Perintah Kawalan Pergerak (PKP), maka pemberian ini diawalkan sejak dua hari lalu,” ujarnya lanjut.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

Gambar : ONG KOK HOAY