COVID-19: Kerajaan Negeri mula 3 strategi seterusnya termasuk butiran insentif

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan memulakan tiga strategi seterusnya bagi menghadapi wabak COVID-19 di peringkat negeri termasuk mengumumkan butiran lanjut berhubung peruntukan insentif khas berjumlah RM20 juta bagi membantu golongan paling terkesan ekoran wabak COVID-19.

Butiran berkaitan, menurut Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow adalah terlebih dahulu perlu mengambil kira keperluan-keperluan barisan hadapan (frontliners) dalam membasmi penularan wabak yang sehingga semalam (21 Mac 2020) telah mencatatkan jumlah 1,183 kes dengan lapan kematian di seluruh negara.

“Pada minggu hadapan, tiga strategi yang telah dirangka adalah meratakan lengkung wabak; mengurangkan impak ekonomi terhadap golongan terkesan dan perancangan untuk membangunkan semula negeri Pulau Pinang pasca-Perintah Kawalan Pergerakan.

“Kerajaan Negeri akan meneruskan usaha meratakan lengkung wabak termasuk mengagihkan pensanitasi tangan (hand sanitizer), termometer dan sebagainya kepada sektor-sektor tertentu seperti bangunan perumahan berstrata seperti rumah pangsa, kondominium dan yang berkaitan.

“Malah, bagi mengurangkan impak ekonomi terhadap golongan paling terkesan (most vulnerable group), Kerajaan Negeri akan mengumumkan butiran lanjut berhubung peruntukan RM20 juta sebagaimana dinyatakan pada awal minggu ini dengan mengambil kira keperluan-keperluan barisan hadapan (frontliners) terlebih dahulu,’’ ujarnya ketika ucapan siaran langsung menerusi laman Facebook peribadi beliau di Komtar sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa Kerajaan Negeri sedang berusaha sedaya-upaya untuk mendapatkan bekalan pelitup muka (face mask) bagi kegunaan rakyat Pulau Pinang dan (Kerajaan Negeri) akan memaklumkan secepat mungkin sekiranya bekalan telah diperoleh.

“Terdahulu, sebagai sebuah kerajaan yang komited dan prihatin terhadap pengorbanan wira barisan hadapan, Kerajaan Negeri telah membekalkan peralatan seperti gaun pembedahan, katil serta bantal kepada Hospital Besar Pulau Pinang (HPP) sebagaimana dimohon, pelitup muka kepada barisan hadapan (semalam), pengedaran pensanitasi tangan, termometer dan keperluan lain akan diteruskan dari semasa ke semasa,’’ jelasnya.

Pada sidang media sama, Kon Yeow turut menyimpulkan beberapa tindakan yang telah diambil oleh Kerajaan Negeri pada minggu pertama Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan bermula 18 Mac lalu.

“Tiga strategi jangka pendek yang telah diambil adalah meratakan lengkung wabak; memperkasa dan melindungi wira barisan hadapan serta mengemblengkan usaha kerajaan melalui pendekatan ‘whole-of-government’ bagi menjayakan usaha Perintah Kawalan Pergerakan berkaitan.

“Malah, kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) juga telah dikerah untuk membantu menguatkuasakan perintah tersebut dan melaksanakan kerja-kerja pembasmian kuman (disinfection),” tegasnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi.

Mengikut statistik terkini yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sehingga semalam, 21 Mac 2020, kes positif COVID-19 di Pulau Pinang mencatatkan peningkatan kepada 50 orang setakat jam 4 petang dan tiada sebarang kes kematian direkodkan.

Di atas kebimbangan tersebut, Kon Yeow menyeru agar semua rakyat tidak memandang ringan akan wabak COVID-19, sebaliknya wajar diberikan perhatian.

“Betul, angka (50 pesakit positif) ini masih rendah berbanding negeri-negeri lain, tetapi kita tidak boleh pandang ringan, ia memerlukan pengorbanan semua untuk melawan COVID-19!

“Saya amat memahami kesulitan yang semua pihak hadapi… peniaga tidak dapat membuka kedai, orang ramai tidak boleh keluar bersiar-siar dan tidak boleh menjalani kehidupan seperti biasa.

“Namun, kita perlu bersabar dan terus mematuhi arahan, hanya dengan kerjasama semua rakyat Pulau Pinang, baharulah kita boleh melawan wabak ini dan kehidupan akan kembali seperti sedia kala.

“Saya mengulangi jaminan bahawa Kerajaan Negeri akan terus berfungsi dan tidak sesekali membiarkan rakyat Pulau Pinang diancam bahaya oleh wabak ini. Penang Lawan COVID-19!” seru beliau.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : ALISSALA THIAN