Peniaga kecil di luar Pasar Awam Air Itam akur arahan tutup premis

Admin

AIR ITAM – Tinjauan di Pasar Awam Air Itam pagi ini mendapati peniaga di luar pasar terbabit akur kepada arahan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) untuk tidak menjalankan sebarang perniagaan.

Turut dikenakan arahan sama di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah peniaga kecil di luar Pasar Awam Jelutong, Pasar Awam Jalan Perak dan Pasar Awam Bayan Baru.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soo Siang berkat, langkah tersebut adalah hasil perbincangan beliau bersama MBPP dalam membendung wabak COVID-19 yang berisiko disebarkan melalui kawasan sesak.

“Kita akan gunakan apa-apa cara sekalipun dalam minimumkan orang ramai dari berkumpul di sini kerana kalau kita tidak cuba memang tidak tahu hasilnya.

“Selain itu saya juga bercadang untuk suarakan kepada Kerajaan Negeri agar bas percuma CAT dikurangkan dalam tempoh PKP kerana saya dapati banyak warga emas datang ke sini gunakan bas ini, apabila kurangkan bas, mungkin kehadiran orang awam dapat dikawal.

“Saya ingin menasihatkan pengunjung pasar ini kalau datang belilah barang sekurang-kurangnya untuk kegunaan tiga, empat hari kalau datang beli secara harian ini mengundang risiko sekiranya berlaku wabak,” ujar Soon Siang ketika ditemui Buletin Mutiara pagi tadi.

Hadir sama, Datuk Bandaraya bagi MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang dan Ketua Polis Negeri, Datuk Sahabudin Abdul Manan.

Dalam menambahbaik keadaan di Pasar Awam Air Itam, Soon Siang memberitahu, MBPP akan melakukan penandaan jarak sosial selamat mulai petang ini.

“Kita hadkan akses masuk keluar pasar ini dan mengawal jumlah pengunjung di dalam pasar pada satu-satu masa walaupun kita tahu perkara tersebut amat sukar.

“Kita cadang buka satu pintu masuk dan satu pintu keluar sahaja bersama penandaan jarak sosial yang selamat supaya keadaan di dalam tidak terlalu sesak.

“Saya juga ada berbincang dengan para peniaga juga jadi esok lihat macam mana, kalau tidak sesuai kita cuba alternatif lain,” ujar beliau lagi.

Dalam perkembangan sama di Pasar Jalan Perak dan Pasar Jelutong, Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N Rayer menyambut baik penutupan gerai di luar kawasan dua pasar terbabit.

Jelasnya, saranan Kerajaan  Persekutuan dan Kerajaan Negeri untuk duduk di rumah tidak dipandang serius oleh kebanyakkan rakyat Malaysia.

“Hari ini sudah mencatat kematian  lapan orang dan angka pesakit yang dijangkiti sudah mencecah 1,183.

“Di Pulau Pinang sahaja difahamkan ada 50 kes yang telah di laporkan setakat ini, jadi saya menyokong penuh tindakan MBPP, Polis dan juga Tentera untuk menutup semua gerai dan penjaja kecil di Pasar Jalan Perak dan Jelutong.

“Saya sedar ini akan menyebabkan peniaga – peniaga menanggung kerugian tetapi kerugian duit boleh diganti, kehilangan nyawa tidak boleh diganti,” tegasnya.

Mengulas lanjut, Rayer turut memuji tindakan Kerajaan Negeri menyediakan dana RM20juta untuk membantu peniaga kecil yang mengalami kerugian akibat kemerosotan perniagaan mereka.

Tinjaun Buletin Mutiara ke Pasar Awam Jelutong, Pasar Awam Jalan Perak dan Pasar Awam Bayan Baru turut mendapati tiada aktiviti peniaga kecil di luar pasar awam.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD