Cub Prix sebagai batu loncatan – Exco

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

BATU KAWAN – Aksi bertenaga dipamerkan pelumba berpengalaman, Mohd. Zaqhwan Zaidi dari pasukan Givi Honda Yuzy Racing membolehkan beliau meraih gelaran juara acara utama CP 130 dengan catatan masa 16 minit 15.133 saat pada Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2014 di sini baru-baru ini.

Kemenangan berpihak kepada Mohd. Zaqhwan apabila beliau meninggalkan Naib Johan, Norizman Ismail pada catatan 16 minit 18.735 saat dan tempat ketiga, Mohd. Azhar abdul Jalil, 16 minit 21.269.

Bagi Mohd. Zaqhwan, memenangi perlumbaan pada kalendar pembukaan memberi makna yang amat besar kepada beliau.

“Ini membuktikan saya masih berada di prestasi terbaik sungguhpun pelumbaan telah berehat panjang dan paling utama, saya menamatkan ‘badi’ apabila sering mendapat catatan terbaik pada ujian masa, namun gagal apabila hari perlumbaan sebenar,” jelasnya yang muncul sebagai pemenang tempat ketiga keseluruhan pada kejohanan tahun lalu.

Bagi kategori CP 115, Mohd. Izzat Zaidi mendapat tempat petama menewaskan dua lagi pencabar, Tengku Amirul Haffiruddin dan Elly Idzlianizar Illias masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Kelas Wira pula, Mohd. Khairul Ikhwan Ajis mendominasi perlumbaan mengalahkan dua lagi pelumba, Mohd. Harith Farhan Baharin di tempat kedua dan Khairul Idham Pawi (ketiga).

Hadir memeriahkan perlumbaan adalah Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga & Komuniti Chong Eng dan Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya.

Chong Eng pada sidang media sebelum berlangsungnya kejohanan berkenaan menyatakan bahawa Cub Prix merupakan batu loncatan kepada anak muda berbakat dalam perlumbaan motosikal untuk menceburi serta mendalami sukan tersebut pada peringkat tertinggi.

“Antaranya pelumba yang bermula dari Cub Prix dan kini beraksi di kejohanan tertinggi adalah Zulfahmi Khairudin bagi kategori Moto3 dan Azlan Shah Kamaruzaman serta Hafizh Syahrin Abdullah (kategori Moto2),’’ jelasnya.