Dapur Sentral iTEKAD memperkasakan 40 usahawan mikro Pulau Pinang ke pasaran global

2ff97b52 cec2 488f abca d297c3d2fff9 KETUA Menteri (kiri) mendapatkan maklum balas daripada salah seorang daripada 40 usahawan mengenai proses retot makanan, sambil disaksikan oleh seorang pegawai pelaksana program, semasa melawat Dapur Sentral iTEKAD Daerah Timur Laut di tingkat satu, kompleks Penang Times Square dekat Jalan Datuk Keramat di sini 14 Mac 2026.

GEORGETOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkesempatan melawat sendiri Dapur Sentral iTEKAD Daerah Timur Laut yang beroperasi di tingkat satu, kompleks Penang Times Square dekat Jalan Datuk Keramat di sini.

Beliau yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi mahu melihat sendiri penglibatan seramai 40 usahawan terpilih yang rata-rata asalnya memulakan perniagaan dari rumah (home-based), lalu direkrut menyertai Projek Dapur Sentral iTEKAD.

Ketua Pegawai Operasi Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Hasri A Hasan; Pegawai Daerah Timur Laut, Ismasuhaimi Shariff; Pengarah Bahagian Penyelarasan Penyertaan Bumiputera Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU JPM), Dr. Syaharudin Shah Mohd Noor; Ketua Pegawai Eksekutif Wakaf Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Abdul Mohsein Mohd. Shariff; Ketua Shariah Hong Leong Islamic Bank, Dr. Muhammad Issyam Itam @ Ismail dan Ketua Pejabat Bank Negara Malaysia (BNM) Pulau Pinang, K. Panimoli turut menyertai lawatan tersebut.

1fdb20f0 eca3 4d9f a3e7 c465413c3dfb
KETUA Menteri (enam dari kiri) merakamkan gambar dengan para pemegang taruh di sebalik pelaksanaan Program Dapur Sentral iTEKAD Daerah Timur Laut di sini tadi.
7ab6dc47 9aff 45c2 97e9 dbf9ef0f59db
FAUZAN Hanis menyampaikan taklimat ringkas kepada Ketua Menteri dan barisan tetamu lain mengenai Program Dapur Sentral iTEKAD Daerah Timur Laut di sini sebentar tadi.

Dalam sesi taklimat selepas itu, Ketua Wilayah, Pejabat Negeri Perak & Pulau Pinang, Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCER), Fauzan Hanis menjelaskan bahawa iTEKAD ialah sebuah program bantuan strategik yang diperkenalkan oleh BNM untuk membantu usahawan mikro, khususnya daripada golongan berpendapatan rendah (B40) dan asnaf agar dapat membina perniagaan yang lebih mampan dan berdaya tahan.

Menurut beliau, Program Dapur Sentral iTEKAD Daerah Timur Laut direka secara khusus untuk membantu usahawan mikro, terutamanya daripada golongan berpendapatan rendah (B40), dalam sektor makanan dan minuman (F&B).

“Inisiatif ini bukan sekadar menyediakan ruang memasak, malah ia merupakan satu ekosistem lengkap yang merangkumi bimbingan teknikal daripada pakar industri serta latihan praktikal pembuatan makanan.

“Sumber dana adalah daripada iTEKAD Hong Leong Islamic Bank; NCER (Wilayah Ekonomi Koridor Utara) adalah peneraju merangkap pelaksana program ini, sementara (firma) H Two Diamond Enterprise adalah rakan pelaksana program.

“Sebelum Program Dapur Sentral iTEKAD Daerah Timur Laut ini dimulakan pada tahun lepas, kita (NCIA dan NCER) telah mendapat kerjasama daripada Bahagian Pelesenan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Bahagian Pengurusan Halal di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) dan Penang Halal International.

“Kita berharap, selepas 18 bulan, kesemua 40 usahawan terpilih menyertai Program Dapur Sentral iTEKAD Daerah Timur Laut, sekurang-kurangnya mereka mempunyai satu produk komersial dengan jenama sendiri serta mendapat pensijilan halal berwajib,” jelasnya.

Di samping itu, Fauzan turut merakamkan penghargaan kepada Wakaf Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) kerana telah menyatakan komitmen untuk mengambil alih operasi pelaksanaan Program Dapur Sentral iTEKAD Daerah Timur Laut, apabila projek perintis tersebut selesai kelak.

Berikut adalah manfaat yang diberikan kepada 40 usahawan yang menyertai Program Dapur Sentral iTEKAD Daerah Timur Laut:

* Bimbingan teknikal daripada pakar industri

* Latihan asas dan praktikal pembuatan makanan

* Penghasilan produk jenama sendiri di ‘Central Kitchen’ atau Dapur Sentral

* Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MesTI)

* Pensijilan HALAL Produk

* Pensijilan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM)

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NURATIKAH RAHMAT
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS