LATAR belakang beliau bukan dalam kalangan ahli keluarga politik, lahir dalam keluarga B40 dan membesar dalam kesusahan menjadi titik tolak terhadap perjuangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A. KUMARESAN.
Wartawan Buletin Mutiara, WATAWA NATAF ZULKIFLI dan jurugambar, ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI, sempat menyelami coretan Kumaresan yang telah lapan tahun menjadi wakil rakyat bagi KADUN Batu Uban.
Memulakan bicara, Kumaresan memberitahu bahawa antara perkara yang tidak pernah lupa adalah episod getir ibunya yang mengambil masa kira-kira 40 tahun untuk memperoleh kad pengenalan biru.
“Ini adalah satu naratif yang kini mencorakkan fokus perjuangan saya membela mereka yang terpinggir akibat masalah status kewarganegaraan.
“Emak saya lahir sebelum merdeka di Batu Gajah, Perak pada tahun 1956, tetapi tidak pernah ada kad pengenalan biru sampai usia 40-an.
“Perjuangan masa itu memang sukar, ada yang kata nak bantu tetapi tidak bantu, ada pihak yang menipu dan macam-macam lagi.
“(Perkara) itulah yang menjadi sebab untuk saya masuk dalam arena politik dan membantu mereka yang memerlukan dengan melibatkan diri dalam perihal kewarganegaraan,” ujarnya ketika mengenang momen tersebut.
Pada awal pembabitan dalam budang politik, Kumaresan pernah menggerakkan task force untuk memberi bantuan kepada individu yang terpalit dengan isu ini, yang mana antaranya tanggungjawabnya adalah ‘duduk dan bantah’ bagi rayuan berkenaan kewarganegaraan.
“Sebernarnya isu kewarganegaraan tidak terhad kepada kaum Cina dan India sahaja, bahkan ada daripada kaum Melayu turut terkena, sampai sekarang pun masih ada yang mohon bantuan saya termasuk di luar Pulau Pinang dan saya akan bantu mereka dari segi penyediaan dokumentasi.
“Tambahan kalau melibatkan warga emas dan kes lama, agak sukar kerana ada di antara mereka yang tidak tahu menulis dan membaca, didorong akses yang sukar waktu dahulu kerana duduk di kawasan pedalaman serta kurang kesedaran,” ulasnya lanjut.

Perjalanan anak jati Batu Gajah ini ke Batu Uban bertitik tolak apabila beliau mula menyambung pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang pengurusan selepas menamatkan tingkatan enam.
Kini, beliau sedang meneruskan pengajian dalam bidang Sarjana Pentadbiran Awam di universiti sama.
Minatnya dalam politik juga tersemai sejak zaman universiti, apabila beliau terlibat secara tidak langsung membantu pertubuhan Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) secara sambilan meskipun ketika itu masih wujud kekangan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU).
“Selain itu, saya banyak meluangkan masa dengan membaca terutama kisah perjuangan Perdana Menteri kita, Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim, termasuk kisah pemecatan beliau, liku-liku kesukaran, keperitan beliau ketika itu.
“(Dan) daripada itu, ia sangat memberi inspirasi kepada saya untuk berjuang dalam arena ini.
“Jalan memasuki pentas politik juga dibuka apabila menyertai internship bersama Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, ketika itu beliau adalah ADUN Pantai Jerejak, sebelum diserap sebagai pegawai beliau,” ceritanya yang turut menggunakan cuti semester untuk membantu Ahli Parlimen Batu Gajah.
Infrastruktur & Komuniti
Sebelum dipilih sebagai ADUN, Kumaresan pernah berkhidmat empat penggal sebagai Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).
Ketika bergelar Ahli Majlis, beliau membantu menaik taraf padang, longkang dan kemudahan awam di kawasan seperti Taman Pekaka dan Bukit Jambul.
“Tidak seperti dulu, Batu Uban kini menjadi kawasan pembangunan pesat dengan kediaman bertingkat tinggi kedua terbanyak di Pulau Pinang.
“Isu-isu seperti lif rosak, tangki bocor, saya cuba bantu dapatkan dana termasuk Tabung Penyelenggaraan Maksimum 80 Peratus Pulau Pinang (TPM80PP) lebih RM11 juta.
“Setakat ini saya berjaya bawa masuk lebih RM20 juta projek naik taraf infrastruktur ke KADUN Batu Uban ini,” jelasnya lagi.
Menyentuh mengenai projek transit aliran ringan (LRT) dengan empat stesen di dalam KADUN Batu Uban, Kumaresan memaklumkan bahawa ia dijangka memberi nafas baharu kepada kawasan tersebut dan sekitarnya.
“Namun, ia dijangka memberi kesan pada aliran trafik harian di Jalan Bukit Gambir dan Sungai Dua ketika projek ini sedang dilaksanakan dan perbincangan dengan pihak-pihak berkepentingan kini sedang berjalan bagi meminimumkan impak kesesakan.
“Malah, dalam sidang DUN juga saya secara konsisten memperjuang projek tebatan banjir Sungai Dua, termasuk pembinaan rumah pam dan naik taraf sistem saliran (pelebaran sungai) dalam menangani isu banjir kilat,” katanya.
Pendidikan Masyarakat
Sebagai alumni USM, beliau mahu institusi tersebut lebih terbuka dan dekat dengan komuniti.
“Saya buat program lawatan ke USM, bawa pelajar untuk lawatan kampus, saya nak mereka rasa semangat masuk universiti.
“Sebelum inipun saya memang beritahu bahawa USM kena buka pintu kepada komuniti, bukan hanya akademik tapi berbakti kepada masyarakat.
“Ada beberapa projek yang saya usahakan seperti kelas tuisyen percuma, termasuk bekerjasama menangani isu ketagihan dadah yang membabitkan beberapa kawasan di Batu Uban,” ujarnya.
Antara projek komuniti lain kata Kumaresan adalah pelaksanaan food bank yang mana Buletin Mutiara difahamkan KADUN Batu Uban antara KADUN terawal melaksanakannya dan masih berjalan hingga sekarang.
Ditanya mengenai kenangan mencuit hati, Kumaresan berkata beliau pernah menerima panggilan telefon jam 12 malam untuk menguruskan kucing mati di hadapan kediaman salah seorang penduduk.
“Ini cerita betul, memang difikirkan lawak, tetapi sebagai ADUN saya masih perlu terangkan kepada beliau, saya akan maklumkan kepada MBPP dan esok mereka akan buang.
“Selain daripada itu, suami isteri bergaduh pun telefon saya, rumah masuk ular dan bermacam-macam lagi.
“Walaupun lucu, tetapi inilah sebenarnya yang perlu kita didik masyarakat tentang peranan ADUN, mereka akan fikir apa sahaja masalah boleh minta tolong ADUN,” katanya yang berharap masyarakat lebih cakna tentang peranan dalam pentadbiran sesebuah kerajaan.