Dasar Keluarga Selamat ke arah Pulau Pinang bebas keganasan

Admin

GEORGE TOWN – Pulau Pinang sekali lagi menerajui negeri-negeri lain di Malaysia dengan memperkenalkan Dasar Keluarga Selamat sebagai langkah awal dalam mewujudkan khidmat sokongan, First Support Point di pusat-pusat khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan di kaunter agensi-agensi Kerajaan Negeri.

 

Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam, Chong Eng berkata, Kerajaan Negeri sentiasa memandang keluarga sebagai unit asas dalam sesebuah masyarakat.

 

“Selaras dengan Visi Penang2030, Kerajaan Negeri bertekad untuk membina suatu ekosistem yang selamat untuk semua keluarga di negeri ini melalui Dasar Keluarga Selamat yang diwujudkan sejak Julai tahun ini.

 

“Malah, Kerajaan Negeri tidak akan bertolak ansur dengan sebarang bentuk keganasan domestik khasnya terhadap golongan wanita dan kanak-kanak.

 

“Saya harap dengan adanya dasar ini, ia dapat membantu memberi perlindungan kepada mangsa-mangsa keganasan domestik atau keganasan rumah tangga di negeri ini,” ujarnya ketika menyampaikan ucapan aluan di Bengkel Latihan Dasar Keluarga Selamat dekat sini pada 20 Oktober 2020.

PARA peserta tidak melepaskan peluang merakamkan kenangan bersama-sama tetamu kehormat, Chong Eng (kanan, berkurung ungu) sejurus perasmian Bengkel Latihan Dasar Keluarga Selamat dekat sini.

 

Difahamkan, bengkel latihan kali kedua ini diadakan dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) dan Women’s Centre for Change (WCC) membabitkan 36 peserta terdiri daripada wakil petugas di 27 Pusat Khidmat ADUN, badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan barisan hadapan.

 

Dalam pada itu, Chong Eng yang juga Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah PWDC memaklumkan bahawa fungsi Pusat Khidmat ADUN adalah sangat penting kerana ia berkait rapat dengan komuniti setempat.

 

 

“Bukan sahaja (berfungsi) untuk melindungi golongan dipinggirkan tetapi juga mangsa keganasan rumah tangga.

 

“Oleh itu, sistem sokongan, First Support Point perlu diwujudkan di Pusat Khidmat ADUN bagi membuka ruang kepada mangsa keganasan untuk tampil.

 

“Marilah kita sama-sama memakmurkan Pulau Pinang sebagai negeri yang bebas daripada keganasan,” serunya yang turut berharap agar para peserta dapat mengaplikasikan latihan melalui bengkel ini di peringkat komuniti nanti.

 

Mengulas mengenai pertanyaan pemberita, Chong Eng menegaskan keperluan mewujudkan mahkamah khas iaitu Mahkamah Keluarga bagi mengendali kes-kes kekeluargaan secara menyeluruh.

 

“Mahkamah Keluarga ini akan mengendalikan kes-kes keganasan rumah tangga dan pada masa sama menawarkan khidmat kaunseling sebagai pakej kepada mangsa berkaitan,” sarannya.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS