Dekorasi bulatan Air Itam hidupkan suasana Aidilfitri dalam PKPB

Admin

AIR ITAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang berharap pemasangan dekorasi lampu hiasan di bulatan Air Itam ke Bukit Bendera mampu menghidupkan suasana Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Katanya sambutan dalam norma baharu dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini sememangnya agak sukar namun bukan alasan untuk menjadikan perayaan umat Islam itu kurang meriah.

“Bulatan ini juga adalah salah satu ikon kepada Air Itam dan saya rasa adalah patut bagi kita untuk mengindahkan bulatan ini sempena perayaan Aidilfitri agar suasana itu dapat dihidupkan walaupun suasana PKPB ini banyak aktiviti dilarang.

“Sambutan raya yang kita adakan setiap tahun pun tidak dapat dijalankan namun haraplah dengan sedikit idea saya, dapatlah hidupkan suasana Hari Raya Aidilfitri ini di kalangan masyarakat Air Itam

“Projek ini yang pertama kalinya diadakan oleh saya dengan kerjasama syarikat Theme Reno Sdn. Bhd. saya akan dijadikan projek raya setiap tahun selagi saya masih bergelar ADUN di sini,” ujar beliau ketika melancarkan hiasan sempena Aidilfitri tersebut pagi ini.

Hadir sama, Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Rohaizat Hamid.

Tambah Soon Siang dekorasi yang julung kalinya dibuat tersebut berjaya disiapkan pada saat-saat akhir semalam  dan mengambil masa seminggu untuk disiapkan.

“Sebenarnya saya hampir terlupa tentang janji saya untuk siapkan dekorasi raya di sini akibat sibuk semenjak PKP.

“Namun syarikat berkaitan berjaya juga siapkan dalam masa seminggu sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri esok,” katanya lagi.

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI