Hujan lebat menjelang Syawal, pertingkat pengurusan krisis – Ketua Menteri

Admin

PERAI – Menjelang Aidilfitri esok, Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow pagi tadi mahu pengurusan krisis dan bencana di kelima-lima daerah berada pada tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan, memandangkan hujan turun begitu lebat dalam beberapa hari belakangan ini.

Serentak itu, beliau turut menasihatkan semua pihak terutama mereka yang dibenarkan berhijrah pulang ke Pulau Pinang supaya terus mengamalkan jarak sosial, kurangkan pergerakan di luar rumah, pakai pelitup muka serta senantiasa basuh tangan dengan sabun serta sanitasi tangan demi memastikan usaha memutuskan rantaian perebakan wabak COVID-19 dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kini tidak tergendala.

“Memang sepanjang dua minggu ini, ada beberapa tempat dilanda banjir, ada beberapa projek tebatan banjir tergendala (berdasarkan jadual pemajuan) disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

“Kita berharap beberapa projek yang tergendala bagi tempoh PKP ini, para kontraktor dapatlah mempercepatkan projek-projek tebatan banjir berkaitan.

“Dan, bagi menghadapi kemungkinan banjir, saya percaya bahawa jawatankuasa bencana daerah telah bersiap-siaga untuk melakukan kerja-kerja pemindahan mangsa bencana sekiranya perlu,” jelasnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Khas Negeri (JKKN) sejurus mengagihkan hamper raya serta baucar khas kepada penduduk terpilih di Kampung Manis dekat sini pada 23 Mei 2020.

Turut mengiringi, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud serta Ahli Majlis MBSP, P. David Marshel

Kon Yeow dalam pada itu turut merakamkan salam Aidilfitri kepada seluruh umat Islam di atas kesabaran serta kegigihan menempuhi sebulan berpuasa dan Syawal (esok) dalam normal baru.

“Walaupun Pulau Pinang setakat ini dalam status ‘negeri Hijau’ (bebas wabak COVID-19), namun, kita dapati bahawa dengan begitu senang status ini boleh menjadi ‘kuning’ (setelah satu kes baru COVID-19 yang aktif dicatatkan).

“Justeru, sempena Hari Raya Aidilfitri, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada umat Islam di seluruh negara terutamanya di Pulau Pinang yang memahami normal baru yang mesti diamalkan, ianya memang jauh berbeza dengan suasana perayaan sebelum ini.

“Namun, (usaha membiasakan diri) dengan normal baru ini adalah suatu pengorbanan yang perlu dibuat, dan saya bersyukur kerana semua faham serta memberi kerjasama demi memastikan tiada kluster-kluster baru (positif COVID-19) khasnya di negeri ini,” ujarnya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Difahamkan, pada pagi ini, sebanyak 60 lagi hamper raya serta baucar khas diagihkan kepada penduduk terpilih sekitar Taman Manis, Balai Perai, Taman Inderawasih dan Taman Inderawasih.

Sejak 21 Mei 2020, Ramasamy bersama-sama Majlis-majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) tempatan serta barisan kakitangan Pusat Khidmat Rakyat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Perai turut mengagihkan hamper raya serta baucar khas kepada penduduk terpilih di Taman Chai Leng, Taman Supreme, Flat Teluk Indah dan KTM Perai.

Ramasamy menyatakan bahawa oleh kerana tiada penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri Peringkat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Perai tahun ini, maka peruntukan berwajib digunakan untuk sumbangan hamper raya dan baucar khas kepada penerima-penerima terpilih berkenaan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : CHAN KOK KUAN
Video : LAW SUUN TING