GEORGE TOWN – Bersempena sambutan Tahun Baru Cina dan bulan Ramadan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Pulau Pinang baru-baru ini telah melancarkan Program Semarak Perpaduan dan Keharmonian Komuniti di lorong mural ‘Beacon of Hope’ bersebelahan Balai Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai, di sini.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Pengarah JBPM Negeri, PKPjB Mohammad Shoki Hamzah sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) jabatan itu dalam memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk.
Menurut Mohammad Shoki, lorong ‘Beacon of Hope’ yang menampilkan mural bertemakan kebombaan kini dihiasi dengan tanglung Tahun Baru Cina serta dekorasi Hari Raya Aidilfitri.
Gabungan elemen dua perayaan utama itu menjadi simbol toleransi, saling menghormati dan semangat kebersamaan yang menjadi tunjang kekuatan Malaysia sebagai negara berbilang kaum dan agama.
“Malah, program seumpama ini juga mencerminkan komitmen jabatan dalam memperkukuh jalinan kemasyarakatan.
“Balai bomba bukan sekadar pusat operasi menyelamat, tetapi juga sebahagian daripada komuniti.
Melalui program ini, kita ingin menyampaikan mesej bahawa perpaduan dan keharmonian adalah tanggungjawab bersama.
“Kepelbagaian budaya di negara ini adalah kekuatan yang perlu kita raikan dan pelihara,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.
Inisiatif tersebut turut mendapat sokongan Presiden Persatuan Prihatin Komuniti Harmoni Pulau Pinang merangkap Ketua Pegawai Eksekutif The Learning Kingdom Education, Dr. Lee Eng Wah.
Beliau berkata, kerjasama strategik antara agensi kerajaan dan pertubuhan komuniti amat penting dalam usaha membina masyarakat yang lebih bersatu padu.
Apabila kita meraikan perayaan bersama tanpa mengira latar belakang kaum dan agama, kita sedang menyemai nilai hormat, kasih sayang dan persefahaman dalam masyarakat.
“Inisiatif seperti ini memberi contoh terbaik kepada generasi muda tentang erti sebenar perpaduan,” ujarnya.
Difahamkan, antara objektif utama program berkenaan adalah untuk memupuk kefahaman budaya antara kaum, mengeratkan hubungan antara JBPM dan komuniti setempat, mewujudkan persekitaran balai bomba yang lebih mesra komuniti serta menyemai nilai hormat-menghormati dalam kalangan masyarakat.