Derita tulang belakang bengkok, remaja rayu sumbangan pembedahan

PULAU TIKUS – Mohamad Andy Hakimi Abdullah, 14, yang menderita sakit tulang belakang bengkok (skoliosis) merayu sumbangan orang ramai bagi menampung kos rawatan pembedahannya.

 

Menurut ibunya, Rashida M. Abdul Gafor, 51, kos pembedahan anaknya itu memerlukan RM130,000.

 

Dia dijadualkan untuk menjalankan pembedahan tulang belakangnya pada 18 Oktober ini di Hospital Adventist Pulau Pinang.

 

 

“Namun saya bersyukur kerana pihak Hospital Adventist mengecualikan RM50,000 melalui badan kebajikan hospital tersebut.

 

 

“Jadi saya masih kekurangan dana sebanyak RM80,000 untuk menjalankan pembedahan yang dijangka akan dilaksanakan pada 18 Oktober ini,” ujar Rashida dalam satu sidang media di Hospital Adventist semalam.

 

Hadir sama, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Adventist Pulau Pinang, Ronald Koh dan Pengurus Bahagian kebajikan Hospital Adventist, Jenny Ooi.

 

 

Mengulas lanjut, Rashida memberitahu, dia menyedari postur tidak normal anaknya pada Mac lalu sebelum dibawa ke hospital.

 

 

“Saya perasan dia jalan agak pelik sedikit sejak Mac dan sehingga kini difahamkan tulang belakang Andy Hakimi bengkok kira-kira 65 darjah.

 

 

“Pakar perubatan juga bimbang sekiranya tidak dibedah segera ia akan menghimpit organ dalaman seperti paru-paru, sekarang pun dia mula tunjukkan tanda-tanda cepat penat,” jelasnya yang juga seorang suri rumah.

 

 

Sebelum ini, Andy Hakimi merupakan seorang pelajar yang aktif di sekolah dan berhasrat untuk kembali giat sekiranya sembuh sepenuhnya selepas ini.

Tambah Rashida, sebelum ini dia juga telah merujuk kepada pihak insurans untuk membiaya kos rawatan namun menerima jawapan yang mendukacitakan.

 

 

Kepada individu yang bermurah hati untuk membantu, boleh salurkan dana ke Akaun CIMB Bank bernombor 8605007005 di atas nama Penang Adventist Hospital Charity Fund.

 

 

Untuk maklumat lanjut, orang ramai juga boleh menghubungi Rashida di talian 017-5838500.