PHI seru lebih banyak syarikat berkelayakan mohon sijil halal

GEORGE TOWN – Pegawai Pelaburan dan Penyelidikan bagi Penang Halal International (PHI), Nazirah Hassan menyeru agar lebih banyak syarikat serta organisasi berkelayakan di negeri ini untuk membuat permohonan bagi mendapatkan sijil halal.
Beliau berkata, ia berikutan sehingga tahun ini sebanyak 1,575 perusahaan di Pulau Pinang merupakan pemegang sijil halal yang sah.
“PHI mengambil tanggungjawab menguar-uarkan mengenai pensijilan halal kepada kebanyakan premis bagi menjamin kebersihan dan mematuhi syarak selaras dengan agama Islam.
“Kita cuma boleh galakkan, mahu tidak mahu itu atas kehendak masing-masing, kerana hal ini tidak boleh dipaksa,” jelasnya dalam satu sidang media sempena Program Sesi Soal Jawab Pensijilan Halal Malaysia Negeri Pulau Pinang dekat sebuah hotel di George Town pagi tadi.
Hadir sama, Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halim Hussain; Ketua Pegawai Eksekutif PHI, Fazil Irwan Som; Ketua Penolong Pengarah (Pendidikan) Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Faizal Ibrahim serta wakil-wakil organisasi terlibat.
Mengulas lanjut, Nazirah mendedahkan bahawa sebanyak 70 peratus pemegang sijil halal di negeri ini adalah terdiri daripada syarikat milikan bukan Islam.
Beliau berkata, keadaan ini jelas menunjukkan kesedaran mengenai pemilikan sijil halal juga tinggi dalam kalangan pengusaha bukan Islam bagi menjalankan aktiviti perniagaan masing-masing.
“Ini termasuk aktiviti membabitkan jualan makanan dan minuman, kosmetik, farmasuetikal, barang gunaan, logistik, pengilangan kontrak, peranti perubatan, dapur berpusat dan lain-lain.
 “Selain itu, pensijilan halal juga adalah memenuhi standard antarabangsa menerusi piawaian ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus) yang ditetapkan,” ujar beliau lagi.
Sementara itu, Abdul Halim turut mengajak pemain industri yang mempunyai pensijian halal supaya merebut peluang dalam bidang pengimportan ekoran kebergantungan negara kepada bidang tersebut amat tinggi.
“Nilai import berkaitan halal pada tahun 2021 adalah berjumlah RM63 bilion manakala nilai pada suku pertama tahun ini pula berjumlah RM17 bilion.
“Sekiranya usahawan kita berjaya menghasilkan produk yang diimport dalam negara, ia akan membantu ekonomi dan menambah nilai sara diri dalam negara sekali gus menambah nilai pendapatan.
“Faktor seperti perubahan iklim, peperangan, kejatuhan nilai mata wang telah memburukkan lagi keadaan dan meningkatkan kadar inflasi yang mana secara langsung menjejaskan ekonomi,” ulas Abdul Halim lagi.
Bercakap mengenai pensijilan tersebut, katanya Kerajaan Negeri turut menyediakan geran bernilai RM200 kepada pemohon.
“Lebih mudah dan menjimatkan sekiranya pengusaha mengemukakan permohonan secara terus kepada PHI di Tingkt 44 bangunan Komtar, berbanding menggunakan khidmat perunding,” katanya lagi.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD