Dewan bedah Hospital Pulau Pinang dijangka beroperasi semula mulai 21 Jun ini

Admin
DR. Afif Bahardin (tengah) sekali meneliti lampu dewan bedah HPP dalam lawatan baru-baru ini.

GEORGE TOWN – Dewan bedah Hospital Pulau Pinang (HPP) yang baru siap dinaik taraf bernilai RM14,839,875.34 dijangka dapat digunakan mulai 21 Jun ini.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin semasa mengadakan lawatan ke hospital berkenaan, semalam.

“Pada 21 Mei lalu, pihak JKR (Jabatan Kerja Raya) sudah mengeluarkan sijil siap kerja kepada pihak kontraktor dan langkah seterusnya kita serahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengoperasikan semula dewan bedah ini.

“Dengan siapnya dewan bedah ini saya yakin masa menunggu pesakit akan kurang, boleh kurangkan kesesakan di hospital seterusnya pulihkan balik kualiti kesihatan di Pulau Pinang. Buat sementara kakitangan HPP memerlukan masa untuk menyusun semula peralatan serta jadual pembedahan,” ujar beliau dalam satu sidang media ketika lawatan tersebut semalam.

Hadir sama, Timbalan Pengarah HPP (Perubatan), Goh Hin Kwang; Pengarah JKR Pulau Pinang, Ir. Shahabuddin Mohd. Muhayuddin dan Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat HPP, Mohamed Yusoff Mohamed Noor.

Afif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya menjelaskan bahawa kerja-kerja naik taraf dewan bedah hospital berkenaan yang bermula pada 17 Februari 2016 sepatutnya siap pada 16 Februari tahun lalu namun mengalami sedikit kelewatan.

“Difahamkan kelewatan berlaku disebabkan pembinaan dinding anti radiasi,” tambahnya lagi.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : EXCO