Dijenamakan semula, peranan dan fungsi Tabung 80:20 diperluas – Exco

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri pada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) baru-baru ini meluluskan cadangan untuk memperluaskan skop kegunaan dana Tabung Penyelenggaraan 80:20 Kerajaan Negeri Pulau Pinang (Tabung 80:20) kepada taman-taman perumahan yang harga unitnya melebihi RM72,500.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata, perkara tersebut dipertimbang dan diputuskan MMK ekoran permintaan daripada beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berhubung perkara berkaitan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini.

“Selaras dengan permintaan tersebut, Kerajaan Negeri telah membuat keputusan agar kelayakan dana Tabung 80:20 diperluaskan manfaatnya kepada perumahan yang berharga di antara RM100,000 hingga RM150,000.

“Selain kategori sedia ada iaitu Rumah Mmapu Milik (RMM) ‘A’ iaitu kos rendah tidak melebihi RM42,000 dan RMM ‘B’ (kos sederhana rendah tidak melebihi RM72,500), kini perumahan di bawah RM150,000 turut layak mengemukakan permohonan.

“Bagi kategori unit berharga RM100,000 dan ke bawah, nisbah pengagihan dana yang akan disalurkan melalui tabung ini dikekalkan pada kadar 80:20.

“Manakala, bagi unit perumahan di antara RM100,000 hingga RM150,000, pengagihan dana adalah pada nisbah 60:40,” jelasnya yang juga ADUN Datuk Keramat sebelum meninjau kerja-kerja penyelenggaraan dua lif Flat Jalan kedah di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir merangkap ADUN Padang Kota, Chow Kon Yeow.

Tambah Jagdeep, skop kerja penyelenggaraan tabung tersebut turut diperluas membabitkan kerja-kerja mengecat, penurapan jalan, pembaikan serta penukaran lampu-lampu koridor dan railing tangga.

“Namun, untuk kerja-kerja pengecatan dan penurapan jalan, nisbah pengagihan dana ini adalah 20:80 untuk keduadua kategori perumahan yang layak memohon,” ujarnya.

Tambah Jagdeep, Kerajaan Negeri turut menjenamakan semula Tabung 80:20 kepada Tabung Penyelenggaraan Maksima 80% Pulau Pinang atau lebih dikenali sebagai TPM80PP.

Tabung 80:20 telah diperkenalkan pada tahun 2013 yang mana kos 80 peratus dibayai oleh Kerajaan Negeri dan baki 20 peratus oleh penduduk.

Sejumlah RM11.5 juta telah diperuntukan oleh Kerajaan Negeri untuk tujuan penyelenggaraan melibatkan kerja-kerja kritikal seperti pembaikan dan naik taraf lif, tangki air, sistem perpaipan dan bumbung.

Semenjak diperkenalkan, sebanyak RM7.1 juta telah dibelanjakan untuk 53 projek kerja-kerja penyelenggaraan membabitkan RMM ‘A’ dan RMM ‘B’.

Dalam pada itu, Kon Yeow memberitahu, Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM64,140.86 (80 peratus) daripada Tabung 80:20 untuk kerja-kerja penyelenggaraan dua lif di Flat Jalan Kedah di sini.

“Baki sebanyak 20 peratus iaitu RM16,035.21 dibiayai oleh Perbadanan Pengurusan (MC) di sini,” katanya.

} else {