‘Doktor Rasis’: Menteri Kesihatan dapat notis tuntutan guaman

Oleh: AHMAD ARAFAT ESAH 

 
GEORGE TOWN – Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Hilmi Yahaya yang mendakwa Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng gagal menunaikan janji untuk mengemukakan laporan tentang isu ‘Doktor Rasis’ akhirnya menerima notis tuntutan guaman daripada pihak pendakwaan, Karpal Singh & Co. Dalam notis bertarikh 3 Oktober itu, Hilmi dituntut menarik balik dan memohon maaf serta membayar pampasan kerana dianggap mencemar kredibiliti Guan Eng serta Kerajaan Negeri.

“Sekiranya kamu gagal mematuhi notis tuntutan ini dalam masa tujuh hari dari tarikh penerimaan surat ini, pihak kami mempunyai arahan tegas untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak Tuan,” ujar Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin semasa membaca surat tuntutan peguam Guan Eng.

Dalam perkembangan sama, Dr. Afif sendiri pada 22 Ogos lepas pernah menghantar surat ke pejabat Hilmi menuntut penjelasan lanjut, namun, tiada maklum balas positif.

Hilmi dituntut demikian gara-gara dalam satu sidang media pada 25 Julai lepas menyatakan bahawa Guan Eng gagal menunaikan janjinya untuk mengemukakan laporan isu ‘Doktor Rasis’ di negeri berkenaan.

Kontroversi isu ‘Doktor Rasis’ sebenarnya mula timbul apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal, Datuk Roslan Saidin pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang antara lain menyebut bahawa wujud beberapa doktor perubatan Cina mengamalkan rasis di
hospital kerajaan dekat negeri ini dengan enggan memberi rawatan sewajarnya kepada pesakit Melayu tertentu, namun, beliau tidak mengemukakan sebarang bukti berwajib sampai sekarang.