PBT komited pantau dan periksa pokok berpotensi tumbang – Exco

Admin
a442f927 f297 4e9f 80b9 7e3fce1f38eb

PULAU TIKUS – Insiden kejadian pokok tumbang dan dahan patah sering berlaku termasuk di negeri Pulau Pinang ekoran keadaan cuaca hujan lebat yang melanda kini.

Sehubungan itu, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) telah mengemukakan laporan siasatan dan pemantauan terhadap pokok besar dan berusia di setiap kawasan.

Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye berkata bahawa pihak MBPP dan MBSP komited dalam melaksanakan pemeriksaan dan pemantauan terhadap pokok-pokok yang berisiko tumbang.

“Di bahagian pulau, menurut sistem PeTIS (Penang Tree Inventory System) yang menyimpan data inventori pokok, dianggarkan sebanyak 40,000 pokok secara keseluruhan dan terdapat 314 pokok besar yang berusia lebih 90 tahun.

“(Dan) melalui sistem ini juga pokok yang berisiko tinggi dapat dikenal pasti dan seterusnya tindakan secara bersasar dapat diambil dengan segera di samping kerja-kerja penyelenggaraan pokok yang dijalankan secara berkala mengikut amalan arborikultur.

“Sebagai makluman, pihak MBPP turut melantik kontraktor yang mempunyai kepakaran menjalankan kerja-kerja penilaian risiko pokok serta penyelenggaraan melibatkan Jalan Macalister, Jalan Utama, Jalan Burmah, Jalan Kelawai serta Jalan Perak,” jelasnya pada sidang media yang dekat Jalan Macalister semalam.

76f5b2e4 6567 4350 b098 bce43920fdb5
JASON H’ng Mooi Lye semasa sesi sidang media yang diadakan semalam.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Joshua Woo Sze Zeng; Datuk Bandar bagi MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran serta barisan Ahli Majlis MBPP.

Mengulas lanjut, Mooi Lye turut memaklumkan bahawa pihak MBSP juga telah melaksanakan pemeriksaan dan penandaan tapak terhadap 96,586 pokok.

“Anggaran bilangan pokok teduhan di bawah penyelenggaraan MBSP berjumlah 115,706 pokok, tindakan penebangan juga dilaksanakan terhadap lapan daripada 23 pokok yang telah dikenal pasti berisiko.

“Di samping itu, pemeriksaan dan pemantauan secara dalaman telah dilaksanakan oleh Jabatan Landskap dan kontraktor Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS).

“Justeru, pelan pelaksanaan dalam melipatgandakan usaha daripada insiden pokok tumbang berlaku lagi akan segera dilaksanakan oleh kedua-dua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” jelasnya lagi.

7f6387f7 90a8 495d a176 4bbd6245b400
MOHD. Zulfadli (kanan) menunjukkan salah satu teknik pemeriksaan menggunakan alatan khusus.

Pada sesi yang sama, Pengendali Alat Mahir Abrorgear Enterprise, Mohd. Zulfadli Mat Yasin berkesempatan menjelaskan sistem penggunaan alat ‘Piscus Sonic Tomograph & Resistograph’ yang bertujuan mengenal pasti kerosakan pokok.

“Tempoh bacaan kerosakan pokok bergantung kepada saiz juga, ada yang mengambil masa satu jam ada juga lebih diikuti tahap-tahap risiko.

“Alat berkenaan digunakan bertujuan mengenal pasti kerosakan dalaman pokok yang tidak boleh dilihat pada mata kasar, mungkin dari luaran pokok tampak dalam keadaan baik, tetapi keadaan di dalam tiada siapa tahu.

“Untuk makluman, kerja pemeriksaan secara visual telah mencapai 40 peratus melibatkan 1,000 pokok, manakala sebanyak 130 perlu diperiksa dengan lebih terperinci.

“Selain itu, kerja-kerja pemeriksaan ini juga bakal memakan masa sehingga dua bulan melibatkan kelima-lima jalan yang telah disebut tadi,” tambahnya.

00f7e204 c4d0 40d9 aad7 8aedb7126d44
LALUAN Jalan Macalister yang dipenuhi pokok berusia puluhan tahun.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD