Draf Rancangan Tempatan MBPP 2035 perlu cadangan, maklum balas awam – Exco

Admin
7b552c36 eb4e 41a5 855d 037dda0cf1ce

GEORGE TOWN – Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa, Jason H’ng Mooi Lye berharap orang awam dan pihak berkepentingan dapat memberikan cadangan serta maklum balas pada program Publisiti Awal Draf Rancangan Tempatan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (DRT MBPP) 2035 dalam tempoh publisiti mulai 23 Januari sehingga 29 Februari 2024.

“Sejurus program publisiti awal dijalankan, sebuah Program Publisiti dan Penyertaan Awam akan dijalankan bagi mendapatkan maklum balas dari semua pihak berkenaan.

“Oleh itu, saya ingin menyeru rakyat negeri Pulau Pinang untuk mengemukakan maklum balas dalam tempoh yang telah ditetapkan dan berharap hebahan terus dilakukan melalui pengimbasan kod QR supaya tiada yang terkecuali dalam memberikan pandangan dan cadangan,” jelasnya pada Majlis Perasmian Program Publisiti DRT MBPP 3035 di sini pada 26 Januari 2024.

c42fa489 8690 4223 85af d15ba4951d41
JASON H’ng Mooi Lye.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi itu lagi, DRT MBPP 2035 dipamerkan di empat lokasi utama iaitu di Dewan Bandaraya MBPP, Pejabat Daerah dan Tanah Barat Daya, Queensbay Mall dan Tingkat 3 Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar).

“Cadangan dan pandangan boleh dilakukan melalui Borang Bantahan yang dikemukakan kepada MBPP secara individu, berkumpulan atau persatuan,” ujarnya.

Turut serta, Datuk Bandar bagi MBPP, Dato’ Ir. A Rajendran; Setiausaha Bandaraya bagi MBPP, Sr. Cheong Chee Hong serta Pengarah Perancangan Pembangunan MBPP, TPr. Mohd. Bashir Sulaiman dan barisan Ahli-ahli Majlis MBPP.

321f9499 ef8d 4527 a5e5 000b6ed45641
DATO’ Ir. A. Rajendran.

Menjawab soalan pemberita selepas itu, Rajendran menyatakan bahawa DRT MBPP 2035 bakal memandu perancangan dan pembangunan di dalam kawasan pentadbiran MBPP untuk tempoh sehingga tahun 2035.

“DRT MBPP 2035 merupakan asas dan panduan dalam merancang serta mengawal pembangunan di kawasan Majlis selain berperanan dalam menterjemahkan wawasan, matlamat, strategi serta dasar-dasar pembangunan Negara dan Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2030.

“Selain itu, DRT MBPP 2035 turut menjadi rujukan kepada komuniti, pemilik tanah, pemegang taruh dan orang awam khususnya yang tinggal di daerah Timur Laut dan Barat Daya.

“Dengan siapnya DRT MBPP 2035 ini, maka lengkap perancangan di bahagian pulau di negeri ini.

“Justeru, saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada pihak urusetia dan agensi-agensi berkepentingan atas sokongan dan komitmen yang tinggi sehingga DRT MBPP 2035 dapat direalisasikan dengan jayanya,” ulasnya lanjut.

74c08af0 cc62 4341 a39a 5f2f4bc21415
SALAH satu pameran yang terletak di Dewan Bandaraya MBPP dekat sini.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT