GEORGE TOWN – Pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, hari ini dimulakan dengan bertafakur bagi menghormati dan memperingati mantan Perdana Menteri Kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang meninggal dunia pada 14 April lalu.
Yang Dipertua Negeri, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Ramli Ngah Talib ketika memulakan ucapan pada Istiadat Perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-15 meminta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam kalangan penganut Islam untuk membacakan surah al-Fatihah, manakala yang bukan beragama Islam pula memanjatkan doa mengikut pegangan dan kepercayaan masing-masing sebagai penghormatan dan tanda ingatan atas segala jasa bakti Allahyarham Tun Abdullah.
“Sebelum sidang ini melangkah ke wacana dan bicara yang lebih jauh, marilah kita bersama-sama mengambil sedikit ruang waktu untuk mengenang jasa serta sumbangan besar Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, mantan Perdana Menteri Malaysia yang telah kembali ke rahmatullah.
“Pada kesempatan ini, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang atas inisiatif menamakan semula Lebuhraya Bandar Cassia sebagai Jalan Tun Abdullah Ahmad Badawi.
“Langkah ini bukan sekadar satu simbol penghormatan, bahkan merupakan sebuah manifestasi penghargaan yang mendalam terhadap jasa dan kepemimpinan Allahyarham dalam membina negara bangsa, khususnya dalam mendorong pembangunan strategik yang memberi manfaat besar kepada negeri ini.
“Semoga nama beliau akan terus mekar dalam lipatan sejarah Pulau Pinang dan terpahat kukuh dalam sanubari rakyat yang sentiasa menghargai jasa dan budinya,” katanya.
Allahyarham Tun Abdullah, 85, menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 14 April 2025 dan selamat disemadikan mengikut Istiadat Pengebumian Negara di Makam Pahlawan di Masjid Negara.
Allahyarham Tun Abdullah sebelum ini merupakan Ahli Parlimen Kepala Batas dari tahun 1978 hingga 2008.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMMAD AMIR IRSYAD OMAR & LAW SUUN TING