Edisi khas : Kerajaan Negeri giat pulihara tapak warisan dunia

Admin

CHINGAY merupakan antara permainan tradisional yang masih diwarisi generasi kini.
CHINGAY merupakan antara permainan tradisional yang masih diwarisi generasi kini.

GEORGE Town diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh ‘World Heritage Committee’ Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 7 Julai 2008 di Quebec City. Pengiktirafan tersebut sekaligus memerlukan Kerajaan untuk menyediakan satu bentuk mekanisma pengurusan dan perundangan yang sesuai bagi memastikan tapak warisan tersebut dijaga dan dipulihara.

Suatu Draf Rancangan Kawasan Khas dan Pelan Pengurusan Pemuliharaan Bandaraya Bersejarah Selat Melaka bagi Bandaraya George Town telah disediakan mengikut Seksyen 16B, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 sebagai satu mekanisme pengurusan bagi memastikan bahawa kawalan pembangunan dan polisi berkenaan warisan dapat diimplementasikan dengan sewajarnya.

‘George Town Festival’ telah menjadi sambutan tahunan bagi meraikan George Town diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.
‘George Town Festival’ telah menjadi sambutan tahunan bagi meraikan George Town diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Malah, Kerajaan Negeri turut mengambil initiatif untuk menggariskan Rang Undang-Undang Warisan Negeri Pulau Pinang 2011 yang bertujuan untuk mengadakan peruntukan khas bagi pengurusan, pemeliharaan dan pemuliharaan warisan kebudayaan dan warisan semula jadi bagi Negeri Pulau Pinang.

Di samping itu, semua projek menaik taraf yang telah dilaksanakan di dalam kawasan Tapak Warisan Dunia George Town adalah di bawah kelolaan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP).

Di antara projek yang dilaksanakan ialah:

  1. ‘Marking George Town’ (MGT) iaitu projek-projek yang bertujuan untuk menonjolkan lagi imej kawasan Tapak Warisan Dunia George Town, seperti tanda-tanda sempadan, pintu masuk, arca dan sebagainya;

  1. Projek Penghijauan Lebuh Carnavon;

  1. Tempat letak kereta Lebuh Pantai;

  1. Menaik taraf Padang Kota Lama;

  1. Projek satu tong sampah 100 langkah;

  1. Laluan berbasikal di beberapa kawasan tertentu;

  1. Pemasangan plak menghuraikan sejarah jalan-jalan Bandaraya George Town.