Edisi khas : Sektor pelancongan negeri semakin rancak

Admin

PENGERUSI Jawatankuasa Pembangunan Pelancongan dan Kebudayaan, Law Heng Kiang menunjukkan poster Tahun Melawat Pulau Pinang 2010 – 2012.
PENGERUSI Jawatankuasa Pembangunan Pelancongan dan Kebudayaan, Law Heng Kiang menunjukkan poster Tahun Melawat Pulau Pinang 2010 – 2012.

 

 

TEMPOH tiga tahun merupakan satu tempoh yang singkat dalam merancang dan melaksanakan sesuatu program pembangunan dan pelancongan. Meskipun demikian, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengambil inisiatif yang proaktif bagi menarik pelancong ke negeri ini dengan mewujudkan beberapa produk pelancongan baharu.

Misalnya, Projek Pusat Makanan Laut (PML) dan Galeri Kraf di Batu Kawan yang dibina pada awal tahun 2008 telah siap sepenuhnya dan telah beroperasi pada tahun ini. Penubuhan PML dan galeri tersebut dilihat sebagai suatu kemudahan serta membuka ruang kepada pengusaha-pengusaha kraftangan dan pengusaha-pengusaha makanan laut untuk mempromosikan barangan atau hasil kerja tangan masing-masing sebagai salah satu produk tarikan pelancong.

 

Malah Kerajaan Negeri juga sedang menjalankan kajian bagi mengenal pasti pembangunan  produk-produk pelancongan yang berpotensi tinggi dan bersesuaian untuk dimajukan di Batu Kawan. Ini adalah sebahagian usaha Kerajaan Negeri dalam mewujudkan produk-produk pelancongan baru yang berteraskan eko-pelancongan seperti Arboretum, projek pembangunan Hutan Paya dan Taman Burung (Mangrove and Bird Sanctuary) dan projek pembangunan Perkampungan Kehidupan Sejahtera.

 

Bagi kawasan Bandaraya Georgetown pula, Kerajaan Negeri sedang merancang pembangunan semula tapak Fasa 5 Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) sebagai kawasan pembangunan taman dalam bandar untuk dijadikan tarikan baru di Tapak Warisan Dunia UNESCO.

LAW Heng Kiang (berdiri, kanan sekali) bersama chef terkenal, Chef Wan (depan, kiri sekali) dan barisan penganjur menunjukkan tanda bagus sempena penganjuran Kelas Memasak Tropical Spice Garden baru-baru ini.
LAW Heng Kiang (berdiri, kanan sekali) bersama chef terkenal, Chef Wan (depan, kiri sekali) dan barisan penganjur menunjukkan tanda bagus sempena penganjuran Kelas Memasak Tropical Spice Garden baru-baru ini.

  

Kerajaan Negeri juga telah memperuntukkan sebanyak RM14.51 juta bagi pelaksanaan projek-projek pembangunan pelancongan bagi tahun ini. Antaranya projek menaiktaraf kemudahan pelancongan di Bukit Bendera dengan peruntukkan berjumlah RM8.6 juta, projek menaiktaraf kemudahan infrastruktur dan penyediaan landskap di Taman Botani yang berjumlah RM1.27 juta serta projek pembangunan sumber bio-pelancongan hutan berjumlah RM2.35 juta.

 

Di samping itu, Kerajaan Negeri juga sedang membangunkan semula Hotel Crag dan Titian Silara di Bukit Bendera selain membaikpulih 5 buah banglo warisan milik Kerajaan Negeri juga di Bukit Bendera dengan hasrat menjadikan Bukit Bendera sebagai destinasi pilihan pelancong.

 

Malah, Kerajaan Negeri juga merancang untuk membangunkan semula Kota Cornwallis yang menjadi tarikan pelancong dengan kos bernilai RM10 juta. Pengurusan Kota Cornwallis akan diserahkan kepada syarikat swasta yang dilantik dan akan dipantau oleh Kerajaan Negeri.

 

Selain itu, Kerajaan Negeri juga akan melaksanakan projek ‘Eco-Fun Theme Park’ di Teluk Bahang yang dianggarkan bernilai RM120 juta. Projek yang berkonsepkan ‘wild venture and residential settlement’ ini membolehkan pelancong merasai suasana kehidupan di kampung seperti pengalaman bercucuk tanam dan ternakan haiwan kampung.

 

Kerajaan Negeri juga sedang mempertimbangkan cadangan pembinaan Resort ‘Water Homes’ di Teluk Kumbar yang melibatkan pembinaan sebuah club house empat tingkat dan 471 unit ‘water homes’ untuk menarik lebih ramai pelancong asing berkunjung ke negeri ini dan menjadikan Pulau Pinang sebagai rumah kedua dibawah program ‘Malaysia My Second Home’ (MM2H).

  

Bagi tahun 2010, sektor pelancongan perubatan yang diterajui oleh Penang Health Association (PHA) telah menjana pendapatan sebanyak RM230 juta berbanding RM162 juta pada tahun 2009. Berdasarkan kepada peningkat tersebut, Kerajaan Negeri turut mensasarkan peningkatan pendapatan sebanyak 15% bagi tahun 2011.