Edu-Green Digital perkasa kempen tangani plastik sekali guna di Seberang Perai

Admin
img 3994 DATUK Bandar MBSP serta barisan pemimpin lain semasa majlis pelancaran Pertandingan Pendidikan Hijau Digital @ Edu-Green Digital (Single Use Plastic) Piala Datuk Bandar Seberang Perai 2026 di Auditorium, Menara Bandaraya pada 23 Februari 2026.

SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) terus memperkasa agenda kelestarian alam sekitar menerusi pelancaran Pertandingan Pendidikan Hijau Digital @ Edu-Green Digital, sebagai usaha mendidik generasi muda agar mengurangkan penggunaan plastik sekali guna (single-use plastic).

Kempen tersebut melibatkan warga sekolah rendah dan menengah di sekitar Seberang Perai, serta menerima tajaan berjumlah RM5,000 daripada Flextronics Technology (Penang) Sdn. Bhd..

Datuk Bandar MBSP, Baderul Amin Abdul Hamid berkata, gabungan pendekatan pendidikan dan hiburan dalam kempen kali ini diharap dapat memanjangkan jangka hayat Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung, selain menjimatkan perbelanjaan tahunan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi pengurusan sisa pepejal di tiga daerah di Seberang Perai.

“Setiap hari, penduduk bandar raya Seberang Perai menjana kira-kira 2,000 tan sampah yang mana kos pengurusan sisa ke Pulau Burung pula mencecah RM135 juta setahun, iaitu hampir satu pertiga daripada keseluruhan perbelanjaan MBSP.

“Justeru, kempen ini penting dilaksanakan pada peringkat sekolah kerana MBSP menyasarkan pengurangan kos pengurusan sampah antara 30 hingga 40 peratus.

“Penjimatan ini membolehkan MBSP menyalurkan peruntukan kepada perkara yang lebih bermanfaat seperti penambahbaikan infrastruktur awam serta penyediaan kemudahan mengikut keperluan penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pertandingan Pendidikan Hijau Digital @ Edu-Green Digital (Single Use Plastic) Piala Datuk Bandar Seberang Perai 2026 di Auditorium, Menara Bandaraya pada 23 Februari 2026.

Hadir sama, Penolong Pengarah Kanan Perkhidmatan Perbandaran MBSP merangkap Penyelaras Majlis Pelancaran Pertandingan Pendidikan Hijau Digital 2026 Peringkat Seberang Perai, Mohd. Naim Mohd. Ali serta barisan Ahli Majlis MBSP.

Mengulas lanjut, Baderul Amin memaklumkan bahawa MBSP kini giat menjana pendapatan baharu menerusi projek penuaan gas metana di Tapak Pelupusan Sampah Ampang Jajar.

Menurutnya, sisa organik seperti makanan mengandungi karbon yang boleh melalui proses penuaan untuk menghasilkan gas metana.

“Projek penukaran sisa kepada gas metana di Ampang Jajar itu merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia.

“MBSP telah memeterai perjanjian untuk menjual gas pada kadar RM33 bagi setiap BTU (Unit Terma British) kepada Gas Malaysia Virtual Pipeline Sdn. Bhd. (GMVP), anak syarikat kepada Gas Malaysia Berhad.

“Syarikat tersebut kemudiannya menjual gas berkenaan kepada sektor industri pada kadar RM68 bagi setiap BTU,” jelasnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa kos pembangunan projek penuaan gas metana di Tapak Pelupusan Sampah Ampang Jajar dibiayai sepenuhnya oleh Gas Malaysia Berhad.

Sehubungan itu, beliau menyeru warga pendidik dan pelajar agar memperhebat amalan pengasingan sisa di punca, termasuk sisa makanan, bagi menyokong inisiatif kelestarian dan penjanaan tenaga hijau.

Turut berucap dalam majlis tersebut ialah Ketua Pusat Pendidikan Hijau, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Dr. Che Zalina Zulkifli; serta Pengarah Sumber Manusia Flextronics Technology (Penang) Sdn. Bhd., Rosalawati Binti Abdul Hamid.

 

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB