GEORGE TOWN – Bagi tahun 2026, Ekonomi Kelangsungan Hidup akan menjadi teras utama pembangunan negeri untuk diterjemah ke arah kesejahteraan hidup rakyat secara realistik.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi menyampaikan amanat tersebut semasa berucap dalam Majlis Perhimpunan Anggota Perkhidmatan Awam Bilangan 1 Tahun 2026 di Dewan Sri Pinang di sini pasa 22 Januari 2026.
“Sehubungan itu, perhimpunan ini juga menjadi ruang muhasabah bagi menilai sejauh mana amanah telah dilaksanakan, dan sejauh mana tindakan pentadbiran memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.
Dalam konteks semasa, Kon Yeow menyatakan bahawa keberkesanan kerajaan tidak lagi diukur melalui pengumuman dasar semata-mata, tetapi melalui keupayaan menterjemah visi kepada realiti serta menyentuh keperluan sebenar masyarakat.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut mengulangi iltizam pentadbiran untuk memperkukuh dan memulih kedudukan kewangan dalam Akaun Hasil Disatukan (AHD) kepada hampir RM1 bilion menjelang tahun 2028.

Berucap sebelum pada itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Zulkifli Long memberitahu bahawa Kerajaan Negeri hari ini akan terus memperkemas pengurusan kewangan secara hemah dan berdisiplin.
Menurut beliau, pendekatan pentadbiran sedemikian telah berjaya membawa pulangan kutipan hasil negeri mencecah kira-kira RM819 juta, tidak termasuk pemberian Persekutuan, di samping mengurangkan kadar defisit negeri.
Selain itu, Zulkifli memberitahu bahawa Pulau Pinang juga terus mengukuhkan kedudukannya sebagai pelopor reformasi pentadbiran awam melalui kejayaan menyiapkan 20 projek Reformasi Kerenah Birokrasi yang berjaya menjimatkan kos pematuhan sebanyak RM2.4 bilion.
Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid; Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo; barisan Exco Kerajaan Negeri, barisan ADUN; Ketua-ketua Jabatan Negeri dan wakil-wakil jabatan turut sertai acara tahunan tersebut sebentar tadi.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING
Video : MOHD IQBAL HAMDAN