Ekspo Jom Cari Kerja pada 9 dan 16 April

Admin
YEOH Soon Hin (lima dari kiri), G. Ashwin (empat dari kiri), Timbalan Pengurus Besar Perbadanan Ketua Menteri (CMI), S. Bharathi (kiri sekali) bersama-sama para pemain utama berkaitan sektor perhotelan dan ekonomi kreatif lain dalam sidang media promosi Ekspo Jom Cari Kerja di KOMTAR pada tengah hari tadi.

GEORGE TOWN – Selari dengan tempoh endemik kini, Kerajaan Negeri melalui Biro Konvensyen dan Pameran Pulau Pinang (PCEB) serta beberapa pihak berkepentingan menganjurkan dwi acara Ekspo Jom Cari Kerja pada 9 dan 16 April 2022 masing-masing di Hotel St. Giles Wembley, George Town dan Hotel Ixora, Seberang Jaya.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin ketika mengumumkan perkara itu memberitahu bahawa data Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Pulau Pinang menunjukkan kira-kira 8,000 hingga 10,000 bakat diperlukan untuk menampung kekurangan sumber tenaga dalam sektor berkaitan di negeri ini.

Kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubung itu lagi, Persatuan Tarikan Pelancongan Pulau Pinang (ATAP) pula memberitahu bahawa kini pihak mereka turut memerlukan sekitar 200 orang bakat bagi mengisi kekosongan pada peringkat sokongan pengurusan dan pekerjaan berkaitan.

“Walaupun sektor-sektor berkaitan telahpun kembali dibuka secara meluas, namun, masih ramai bergelut dalam mendapatkan pekerjaan yang sesuai.

“Saya percaya isu seperti ketidakpadanan antara kerjaya yang ditawarkan dan yang dicari dalam pasaran buruh wajar ditangani pada peringkat Kerajaan Negeri dan saya sendiri (sebagai Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif).

“Oleh itu, saya telah membuat keputusan untuk menerajui inisiatif komuniti dengan menganjurkan Ekspo Jom Cari Kerja Pulau Pinang iaitu sebahagian daripada rangka kerja di bawah Penang2030,” jelasnya dalam sidang media promosi dwi acara tersebut di Komtar pada 5 April 2022.

Bercakap pada pemberita, Ketua Pegawai Eksekutif PCEB, G. Ashwin berkata pihaknya turut berharap penganjuran dwi acara tersebut turut dapat membantu graduan dalam memburu kerjaya dengan skim gaji lebih menarik; sekali gus menangani isu upah buruh terlalu murah serta merosotkan kadar pengangguran semasa di Pulau Pinang.

“Ekspo ini akan diadakan secara fizikal, saya berharap akan menarik minat pelbagai pihak untuk datang bagi mencari peluang kerjaya yang sepadan,” katanya lagi.

Hotel The Light; Hotel St, Giles Wembley; The Ascott Limited; Eastin Hotel; Hotel Mei; Hotel Hard Rock; Qatta Hotel & Hospitality Management; Hotel Park Royal; Shangri-La Rasa Sayang / Golden Sands; The Prestige; Hotel Aroma; Hotel Royale Chulan; G Hotel; Neo + Hotel; Hotel Cititel; Iconic Hotel; Lexis Suites; The Top; The Habitat; Rapid Penang dan Tropical Fruit Farm merupakan antara pihak yang akan menyertai dwi pameran kerjaya tersebut, kelak.

Informasi lanjut, boleh dapatkan menerusi pautan www.penangcareerexpo.my atau https://www.facebook.com/Penang-Career-Expo-106739028645889/.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD