Masjid Benggali terima dana khas UNESCO, sasar baiki bumbung dan kerja elektrik

Admin
cf82c4c0 b90b 474a 8dbd d43d6417f489

TERKENAL dengan aktiviti dakwah atau lebih tepatnya kunjungan jemaah tabligh menjadikan Masjid Benggali yang terletak di Lebuh Leith tidak lagi asing bagi umat Islam di Pulau Pinang.

Dibina pada tahun 1803 oleh orang Benggala yang datang berdagang dan bekerja dengan Syarikat Hindia Timur Inggeris, masjid berkenaan juga pernah digunakan sebagai asrama oleh Sepoi Muslim pada suatu ketika dahulu.

7477e473 fc2b 4590 8d9d 85b0fa47e2dc

Bendahari Masjid Benggali, ABDUL HALIM ABDUL HAMID berkata walaupun sudah menjengah usia 221 tahun, sehingga kini struktur asal Masjid Benggali masih lagi utuh kerana dijaga dengan sangat rapi.

Disebabkan usia melebihi dua abad itulah telah melayakkan Masjid Benggali menerima dana khas berjumlah RM186,000 daripada Pertubuhan Sains, Pendidikan dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

“Dana khas ini telah diagihkan melalui George Town World Heritage Incorporated (GTWHI) bagi tujuan pemulihan dan pemuliharaan.

“Antara struktur utama yang akan dipulihara dan dibaik pulih adalah bahagain mihrab masjid, kubah, menara, bumbung termasuk kerja-kerja mekanikal dan elektrikal bangunan ini.

“Terdapat beberapa bahagian pada struktur bumbung yang mengalami kebocoran, bahagian kubah yang perlu dibaiki, kerja-kerja pendawaian elektrik yang sudah lama, penyaman udara dan kerja-kerja pemulihan yang lain,” ujar Abdul Hamid ketika menerima kunjungan temu bual penulis Buletin Mutiara, WATAWA NATAF ZULKIFLI dan jurugambar, AHMAD ADIL MUHAMAD di sini petang tadi.

 

cffd8c62 c951 4f8d b827 e378a1cff516

Bagi melicinkan kerja-kerja pemuliharaan tersebut, Masjid Benggali akan menerima lawatan pihak GTWHI dalam masa tersekat untuk membuat penilaian bagi menjalankan kerja-kerja terbabit secepat mungkin.

“Seperti yang umum ketahui, Masjid Benggali memang mempunyai fungsi tersendiri khususnya dalam masyarakat Islam di Pulau Pinang.

“Di sini adalah pusat gerakan tabligh bagi menyampaikan dakwah selaian daripada kerja-kerja kebajikan kepada umat Islam yang memerlukan bantuan.

“Selain gerakan jemaah tabligh setempat, Masjid Benggali turut dikenali oleh jemaah-jemaah dari seluruh negara bahkan pada peringkat antarabangsa yang turut akan datang ke sini untuk menjalankan aktiviti dakwah,” maklumnya.

f9d9be97 72b2 4f75 bc74 4f296e7249cf

 

Difahamkan juga, ketika masjid tersebut dibuka, Pulau Pinang ketika itu ditadbir oleh Gabenor British, George Leith yang mana namanya disemadikan di jalan yang menempatkan Masjid Benggali.

“Sebagai bangunan warisan Kategori I, masjid ini juga sebenarnya telah melalui pelbagai fasa menaik taraf sesuai dengan keperluan jemaah setempat dan peredaran zaman.

“Bangunan asal adalah di dewan solat utama, struktur bumbung asal juga masih kukuh, cuma kita perlu jalankan pemeriksaan berkala bagi memastikan struktur ini selamat.

“Fasa pertama pembesaran adalah pada tahun 1921 melibatkan bahagian belakang dan pada 26 Disember 1958 projek naik taraf turut dirasmikan oleh Perdana Menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

“Ruang solat tambahan turut ditambah lagi pada tahun 1980 dan seterusnya tahun 2000 yang terus mampu memuatkan kira-kira 1,000 atau lebih jemaah pada satu-satu masa,”jelas Abdul Halim yang berkhidmat dalam sektor kesihatan.

Antara perkara yang jarang diketahui umum adalah berkaitan keharmonian masyarakat dahulu yang mana ruang tambahan Masjid Benggali diserahkan secara percuma oleh individu berbangsa Cina kepada pihak masjid.

 

dd4bae47 84e7 42be bba9 d713432c598e

“Perkara itu ada tercatat di batu bersurat dekat sempadan belakang masjid yang mana pada 20 Mei 1921, mendiang Khoo Sian Ewe menyerahkan tanah miliknya kepada masjid untuk diperbesarkan.

“Itulah gambaran betapa harmoninya masyarakat Pulau Pinang pada ketika itu,” kata Abdul Halim menutup bicara.

Sebelum beransur, Abdul Halim sempat menyeru kepada orang ramai yang mahu memberi sumbangan kepada Masjid Benggali untuk menyalurkannya melalui akaun Bank Islam bernombor 07025010011483 atau menghubungi Setiausaha Masjid Benggali, Azhar Noohu di talian 017 – 483 1004.

Masjid Benggali memerlukan dana kira-kira RM700,000 sekiranya hendak dipulihara sepenuhnya dan mengindahkan keseluruhan ruang masjid.