Eksport Pulau Pinang ke Amerika Syarikat bernilai RM76 bilion

Admin
5c9b2a2d a30b 4dc5 b3a0 7f648ff4e40e

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa kenaikan tarif Amerika Syarikat akan meninggalkan kesan berantai pada sektor pelaburan dan perdagangan di negeri Pulau Pinang.

Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi berkenaan menjelaskan bahawa ketika ini Amerika Syarikat merupakan negara kedua tertinggi dalam senarai eksport dari Pulau Pinang dengan nilai RM76 bilion atau bersamaan 17 peratus daripada keseluruhan nilai eksport negeri pada tahun 2023.

Di samping itu, Kon Yeow berkata Pulau Pinang dijangka menerima impak daripada ‘perang dagangan’ tersebut kerana Amerika Syarikat merupakan rakan dagangan utama kepada negeri ini dengan lebihan dagangan bernilai RM57.7 bilion pada tahun 2024.

“Justeru, pelaksanaan tarif ini dikhuatiri bakal memberi impak serius kepada Pulau Pinang dan negeri-negeri lain di Malaysia,” jelasnya dalam Sesi Soal Jawab Lisan, Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang yang Ke-15 di sini pada 16 Mei 2025.

Melihat perkembangan semasa, Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan berkata pentadbirannya komited untuk menjajarkan semula, menentu ukur semula dan mengesahkan semula peranan Pulau Pinang sebagai pemaju ekonomi utama negara.

Jelasnya lagi, Kerajaan Negeri hari ini telah menubuhkan Pasukan Petugas Pemantauan Tarif untuk memantau perkembangan global, susulan penganjuran suatu bengkel berkaitan oleh Penang Institute pada 11 April lepas.

Menjawab soalan tambahan ADUN Bukit Tengah, Gooi Hsiao-Leung, Kon Yeow menjelaskan bahawa setakat ini pentadbirannya tidak menerima aduan berkaitan penyingkiran pekerja industri yang disebabkan kesan berantai daripada kenaikan tarif Amerika Syarikat.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NUR BATRISYA IDRIS
Video : SIEW CHIA EN