El-Nino, P. Pinang masih capai tanaman padi 2 kali setahun – Exco

GEORGE TOWN – Sungguhpun kesan El-Nino yang melanda negara hampir setengah tahun pertama 2016 sehingga mengundang masalah bekalan air dan kesuburan tanaman, Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagaimanapun masih berjaya mencapai prestasi penanaman padi dua kali setahun.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berkata, kejayaan tersebut dicapai ekoran penubuhan Jawatankuasa Khas oleh Kerajaan Negeri bagi memantau tahap kawalan air semasa ke kawasan-kawasan pertanian.

“Syukur, alhamdulillah, tempoh El-Nino baru-baru ini berlalu dan kita berjaya mencapai KPI (indeks prestasi kerja) penanaman padi dua kali setahun,” katanya ketika sesi penggulungan sempena Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-13 baru-baru ini.

Rentetan itu, menurut Afif, sebagai persediaan awal pada masa akan datang, Kerajaan Negeri dan Jawatankuasa MMK Pertanian merancang tindakan berikut:

  • Menyusun semula penjadualan pembekalan air ke kawasan jelapang mengikut kemampuan dan keperluan air;
  • Menyusun dan menyelaras segala khidmat pengembangan oleh Jabatan Pertanian Negeri bagi memaklumkan segala maklumat dan tindakan segera yang perlu diambil oleh petani;
  • Meningkatkan kecekapan pengurusan penggunaan pam air yang telah diperuntukan Kerajaan Negeri iaitu sebanyak 40 unit agar petani yang telah menanam tidak menghadapi masalah kerugian semasa mula menanam, dan;
  • Meningkatkan penggunaan air secara optimum di mana air di parit buang digunakan semula.

Sementara itu, Afif memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri turut memperuntukkan bajet pembangunan berjumlah RM550,000 di bawah Program Pembangunan Industri Tanaman Padi bagi meningkatkan hasil pengeluaran padi negeri.

“Program ini merupakan sebahagian teras industri pertanian negara sebagai usaha kerajaan untuk meningkatkan kualiti dan kuantiti pengeluaran makanan rugi.

“(Dan) Kerajaan Negeri komited untuk mencapai SSL (Self Sufficient Living) menjelang 2020,” ujarnya.

Sebagai rekod, purata pengeluaran padi di Pulau Pinang adalah 5,959 kilogram (kg) bagi setiap hektar semusim pada tahun 2015, iaitu 85 peratus daripada sasaran SSL, 7,000 kg bagi setiap hektar semusim.