Kerana ada tender terbuka, kita dapat jimat banyak wang – Guan Eng

GEORGE TOWN –Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pembangkang Pulau Pinang diselar kerana mengeluarkan kenyataan yang tidak munasabah tanpa merujuk secara keseluruhan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) bagi Penyata Kewangan Kerajaan Negeri dan Prestasi Kewangan tahun 2015.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, LKAN jelas menunjukkan pencapaian perbelanjaan rancangan pembangunan negeri bagi tempoh 2011 hingga 2015.

“Pembangkang hanya merujuk muka surat 37 LKAN, tetapi tidak merujuk muka surat seterusnya iaitu muka surat 38, yang jelas menyatakan bahawa sepanjang tempoh 2011-2015, sebanyak 16,173 projek telah dirancang untuk dilaksanakan.

“Daripada jumlah tersebut, 16,126 projek atau 99.7 peratus telah siap sepenuhnya, manakala 45 projek (0.29%) sedang dilaksanakan dan dua projek (0.01%) lagi ditangguhkan.

“Status projek pembangunan ini jelas menunjukkan prestasi kewangan negeri yang baik, dengan kita (Kerajaan Negeri) membelanjakan 55.4 peratus atau RM951.61 juta daripada keseluruhan peruntukan rancangan pembangunan berjumlah RM1,718.22 juta bagi tempoh tersebut.

“Tetapi pembangkang tidak buat ‘homework‘,” ujarnya pada sidang media di perkarangan Dewan Undangan Negeri baru-baru ini.

Menurut Guan Eng, prestasi kewangan yang baik dan dipuji oleh Ketua Audit Negara tersebut adalah kerana Kerajaan Negeri Pulau Pinang kini mengambil langkah-langkah kontinjensi termasuk mengadakan sistem tender terbuka.

“Kita ada tender terbuka, kerana ada tender terbuka merupakan sebab utama kita boleh jimat banyak wang iaitu penjimatan sebanyak 45 peratus.

“Itulah perbezaan tadbir urus CAT (Cekap, Akauntabiliti dan Telus) yang mana tender terbuka menjadikan prestasi kewangan negeri dipuji oleh Ketua Audit Negara,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih.

Muka surat 37 LKAN, Bahagian III menerangkan pencapaian perbelanjaan rancangan pembangunan negeri bagi tempoh 2011 hingga 2015.

Antara isi kandungannya menyatakan bahawa perancangan bajet pembangunan disediakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang secara tahunan seiring dengan dasar dan strategi pembangunan sosio ekonomi negeri dan selari dengan keperluan untuk mencapai outcome dan keberhasilan di peringkat jabatan dan negeri.

Manakala, sambungan pada muka surat 38 pula menjelaskan status prestasi pelaksanaan projek pembangunan sehingga akhir tahun 2015