Empat mangsa kebakaran terima bantuan khas Ketua Menteri

Admin
KETUA Menteri (depan, kiri) diiringi Zulkifli Rashid (depan, kanan) dan Lay Hock Peng (belakang) meninjau salah sebuah rumah mangsa kebakaran di sini tadi.

PENAGA – Empat keluarga mangsa kebakaran yang tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka dijilat api dalam kejadian 6:40 pagi pada 14 April lepas di Kuala Muda masing-masing menerima RM2,000 bantuan khas daripada Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow sendiri tadi.

KETUA Menteri diiringi beberapa pemimpin Kerajaan Negeri lain menyerahkan sumbangan bantuan khas Ketua Menteri kepada salah seorang mangsa kebakaran di Kuala Muda, Penaga di sini tadi.

Bercakap kepada pemberita, Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi berkata bahawa pihaknya telah mengarahkan Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah (SPU), Zulkifli Rashid dan Penghulu Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Penaga, Khairul Fadzli Rosli untuk menyegerakan proses penyaluran sumbangan kewangan dari Tabung TYT serta bantuan-bantuan berkaitan yang wajar.

“Difahamkan, bantuan seterusnya juga akan disalurkan dari Tabung Tuan Yang Terutama (TYT).

“Bagi mangsa kebakaran, isu yang mereka hadapi adalah cara untuk bina semula rumah di atas tanah yang bukan milik mereka serta memerlukan persetujuan daripada tuan tanah.

“Jadi, isu ini telah diambil maklum oleh Tuan Pegawai Daerah serta Penghulu, dan sebagai jalan penyelesaian adalah mencari mana-mana tanah milik kerajaan bagi penempatan semula untuk mereka,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong sejurus lawatan kawasan kejadian di sini pada 19 April 2022.

DENGAN disaksikan sendiri oleh Ketua Menteri (berdiri, dia dari kiri), Lay Hock Peng (berdiri, dua dari kanan) menyerahkan sumbangan kerusi roda kepada warga emas berkenaan di sini tadi.

Pada majlis sama, Lay Hock Peng iaitu Pegawai Penyelaras Khas kepada Ketua Menteri turut menyerahkan sumbangan berupa kerusi roda kepada salah seorang mangsa kebakaran yang merupakan warga emas uzur.

Pegawai Penerangan Bahagian Kerajaan Negeri, Pejabat Ketua Menteri, Zahar Zainul, Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Ooi Yong Wooi, Pegawai Penyelaras KADUN (PPK) Penaga, Aida Yusof Rawa merupakan antara pemimpin Kerajaan Negeri yang turut menyertai acara ziarah keluarga mangsa-mangsa kebakaran terbabit.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : LAW SUUN TING