Gotong-royong masak 10 kawah bubur lambuk semarak semangat muhibah rai bulan kerahmatan

Admin
TAN Lean Kee iaitu isteri kepada Ketua Menteri turut mengambil bahagian mengacau bubur lambuk di perkarangan Masjid Jamek Simpang Empat Permatang Buloh di sini pada pagi tadi.

SUNGAI DUA – Pejabat Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menganjurkan acara memasak 10 kawah bubur lambuk secara gotong-royong dengan penglibatan pelbagai pihak di perkarangan Masjid Jamek Simpang Empat Permatang Buloh sebagai menyambut sambutan Nuzul Al-Quran pada pagi ini.

Mereka yang terlibat antaranya beberapa jawatankuasa kariah masjid, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Persatuan-Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru serta penduduk setempat.

KETUA Menteri diingi isteri turut mengambil kesempatan menyiapkan bekas bubur lambuk untuk diedarkan di beberapa kawasan terpilih nanti.

Semasa berucap, Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menghasilkan 5,000 bekas bubur lambuk untuk diedarkan kepada para petugas barisan hadapan di Hospital Kepala Batas, Hospital Seberang Jaya, Hospital Sungai Bakap dan beberapa lokasi lain.

“Sempena Hari Nuzul Al-Quran, kita mengambil kesempatan menganjurkan program ini.

“Ini, memberi mesej yang jelas kepada rakyat bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa bersama-sama rakyat dalam meraikan apa jua perayaan keagamaan.

“Di samping itu, program gotong-royong seperti pada hari ini juga dapat memupuk semangat muhibah dan bersama-sama meraikan bulan kerahmatan umat Islam (iaitu Ramadan) dengan penglibatan pelbagai agensi kerajaan dan kaum,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

BEBERAPA wakil PIBG yang mengambil bahagian dalam memasak bubur lambuk di sini.

Difahamkan, sejak tahun 2013, Bahagian Penerangan Kerajaan Negeri dengan kerjasama pejabat Pegawai Penyelaras Khas Ketua Menteri, MPKK, Pegawai Penyelaras KADUN (PPK) dan Jawatankuasa Kariah Masjid terpilih menganjurkan program memasak dan membungkus bubur lambuk secara gotong-royong untuk diagihkan kepada komuniti lokal.

Namun, program seumpama itu ditangguhkan pada tahun 2020 ekoran pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mengulas lanjut, Kon Yeow merakamkan penghargaan kepada Pegawai Penerangan Bahagian Penerangan Kerajaan Negeri, Pejabat Ketua Menteri, Zahar Zainul dan Pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid Jamek Simpang Empat Permatang Buloh, Cikgu Zambri Darus kerana berjaya menganjurkan kembali program memasak serta mengedar bubur lambuk secara gotong-royong dengan melibatkan pelbagai pihak.

ZAHAR Zainul

Sebelum itu, Zahar memberitahu Buletin Mutiara bahawa tujuan penganjuran program tersebut adalah demi menyemarak semula semangat muhibah serta muafakat melalui program gotong-royong demi memperkasakan komuniti lokal terutama sekitar kawasan Parlimen Tasek Gelugor dan Kepala Batas serta Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Sungai Dua.

“Selain agensi berkaitan negeri seperti MPKK, pentingnya penglibatan PIBG dalam program gotong-royong memasak bubur lambuk ini kerana ia turut melibatkan komuniti guru-guru, ibu bapa dan anak-anak kita di beberapa sekolah di sini.

“Sudah lama ‘program rakyat’ seumpama ini kita tidak boleh buat disebabkan PKP, jadi kita ambil kesempatan menganjurkan program ini bersempena sambutan Hari Nuzul Al-Quran,” ujarnya sambil merakamkan penghargaan kepada pentadbir Masjid Jamek Simpang Empat Permatang Buloh.

ZAMBRI Darus

Sementara itu, Cikgu Zamri pula menyatakan bahawa pihaknya serta jawatankuasa kariah masjid berbesar hati kerana Masjid Jamek Simpang Empat Permatang Buloh dipilih sebagai tuan rumah pada acara gotong-royong memasak bubur lambuk tersebut.

“Alhamdulillah pada pagi ini, kita boleh tengok betapa meriah apabila program ini diadakan secara gotong-royong…bagi pihak (jawatankuasa kariah) masjid, saya berasa begitu berbesar hati.

“Kira-kira 50 orang…yang melibatkan enam buah sekolah (rendah kebangsaan) dan empat NGO lain,” ulasnya sambil merakamkan penghargaan kepada Bahagian Penerangan Kerajaan Negeri, Pejabat Ketua Menteri hari ini.

RAMLI Omar

Dalam temuramah berasingan, bekas PPK Penaga, Ramli Omar memuji pentadbiran Kon Yeow kerana terus memberi tumpuan kepada agenda memperkasakan komuniti melalui program bertemakan gotong-royong, terutama di kawasan luar bandar.

“Dengan tema gotong-royong melibatkan pelbagai agensi dan kaum, saya harap program seumpama ini dapat diperluaskan lagi ke kawasan-kawasan lain,” katanya.

MUSTAFFA Ahmad

Manakala, Mustaffa Ahmad, iaitu seorang tukang masak bubur lambuk di Masjid Jamek Permatang Sintok melahirkan rasa bangga kerana turut dijemput bagi menjayakan program memasak 10 kawah atau periuk bubuk lambuk di sini tadi.

“Walaupun ada 10 kawah bubur lambuk dimasak secara gotong-royong di sini, tapi rasa setiap satu kawah sudah pasti berbeza kerana dimasak oleh tukang masak atau kumpulan yang berbeza.

“Macam kawah kami, orang ramai boleh rasa keaslian rasa masakan bubur lambuk ‘ikut cara’ Masjid Jamek Permatang Sintok,” ujarnya.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : LAW SUUN TING