Enakmen baru galak penternakan tertutup elak pencemaran & lalat

Teks: AHMAD ADIL MUHAMAD

BUKIT TENGAH – Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin memberitahu bahawa beberapa enakmen baru sedang diperhalusi sebelum diperkenalkan kepada penternak unggas dan khinzir sebagai usaha membasmi masalah pencemaran serta lalat di beberapa tempat berdekatan dengan kawasan perumahan di negeri ini.

Beliau berkata demikian semasa hadir merasmikan Majlis Penyempurnaan Bantuan DVS Negeri Pulau Pinang 2014 di perkarangan Ibu Pejabat Perkhidmatan Veterinar Negeri Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Menurut Afif, enakmen yang bakal diperkenalkan menjelang tahun 2017 itu adalah untuk menggalakkan sistem penternakan secara tertutup (closed farming system) yang terbukti berkesan mengatasi masalah pencemaran dan lalat.

“Sistem ini sebenarnya bukanlah sesuatu yang baru..ianya sudah lama dijalankan, tetapi masih belum diperluaskan lagi. Mungkin apabila enakmen ini diperkenalkan nanti ia dapat menggalak para penternak untuk mengunapakai sistem ini.

“Walaupun pelaburan lebih besar diperlukan, tetapi pulangan modal diterima adalah lebih memandangkan ternakan menjadi lebih baik dan produktiviti semakin meningkat menggunakan sistem ini.

“Justeru, taklimat khas akan diadakan kepada penternak berkaitan apabila enakmen tersebut diperkenalkan nanti,” ujarnya pada majlis berkaitan.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Veterinar Negeri Pulau Pinang, Dr. Johari Abu Bakar dan Ketua Bahagian Pembangunan Industri DVS Negeri Pulau Pinang, Dr. Madihah Rauza Ahmad Salimi.

Tambah Afif, pengenalan enakmen itu secara tidak langsung dapat menjadikan industri pertanian semakin canggih dan maju.

“Harapan saya adalah industri pertanian dan penternakan di negeri ini dapat menjadi contoh kepada negeri-negeri lain setelah para penternak mengamalkan sistem ini.

“Saya mahu lihat industri penternakan dapat jadi sama baik dan canggih seperti industri pembuatan di sini nanti,” seru beliau yang menyampaikan bantuan kepada 95 penternak terpilih seluruh Pulau Pinang di sini.

Dalam pada itu, Johari turut mengingatkan para penternak supaya menjaga ternakan masing-masing ekoran laporan kes kecurian yang semakin meningkat kini.

“Sehingga kini, mengikut laporan polis, hampir empat juta ternakan dilaporkan dicuri di seluruh negara.

“Saya ingin mengingatkan para penternak supaya dapat branding (cop hak milik) setiap binatang ternakan supaya mudah untuk dikenalpasti,” ujar beliau.

Penyampaian bantuan adalah membabitkan tujuh kategori termasuk peralatan ternakan, makanan ternakan serta penaiktarafan kandang dan reban.

Permohonan bantuan DVS Pulau Pinang dibuka setiap tahun bermula 1 Januari sehingga 1 Mac dan boleh dipohon melalui Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah di seluruh Pulau Pinang.