Enam pasangan pengantin kahwin serentak diraikan

Admin

PULAU BETONG – Enam pasangan pengantin diraikan dalam suasana gilang-gemilang sempena penganjuran Walimatulurus Perdana 4.0 dekat sini pada 12 Jun 2022.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail selaku Pengerusi Penganjur ketika ditemui berkata, majlis tersebut diteruskan tahun ini setelah terhenti selama dua tahun akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.

“Kali pertama adalah pada 2015, seramai 15 pasangan mengambil bahagian dan seterusnya pada 2017 seramai 16 pasangan dan 19 pasangan (2019) menjadikan keseluruhan sehingga kini siri keempat seramai 56 pasangan.

“Penyertaan tahun ini cuma enam pasangan bagi mengelakkan kebanjiran tetamu yang keterlaluan memandangkan kita masih dalam tempoh peralihan ke fasa endemik,” katanya.

Difahamkan, setiap pasangan cuma perlu membayar RM3,000 dan hanya boleh menjemput 300 tetamu sahaja. Lain-lain keperluan diuruskan oleh Pusat Khidmat ADUN Pulau Betong termasuk sumbangan daripada pihak-pihak berkaitan.

Kemeriahan jelas dapat dilihat dari segi sambutan dan kepelbagaian juadah rumah kenduri kahwin seperti nasi minyak, apam balik, laksa, kuih-muih, cendol, apam lenggang, roti jala dan bermacam-macam lagi.

Hadir sama, ADUN Bayan lepas, Azrul Mahathir Aziz; ADUN Teluk Bahang, Zolkifly Md. Lazim serta pimpinan-pimpinan masyarakat setempat.

 

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI