Erti hidup adalah memberi – Abdul Shukor

Admin

ERTI hidup adalah memberi.

Sambil-sambil berperanan sebagai Timbalan Pengerusi dalam Lembaga Pengarah Restoran Pelita Nasi Kandar, beliau bersetuju untuk membina sebuah institusi pendidikan agama secara percuma di Jelutong atas nasihat kawan-kawan.

Maka, beliau pun melakukan apa yang wajar menyusun program sumbangan kejiranan, walaupun dihambat pelbagai tanggungjawab sebagai tenaga pengajar agama.

Aktiviti amal Islami ini menggamit perhatian akhbar Buletin Mutiara (BM), apabila Program Jejak Asnaf diadakan peringkat Qaryah Masjid Timah dekat Seberang Jaya baru-baru ini.

Sebanyak 40 keluarga terpilih untuk menerima 20 jenis barang keperluan asasi, termasuk sekampit beras dan sebungkus gula pasir.

Beliau awalnya menolak untuk ditemuramah atas sebab program ini amal Islami.

Tetapi, akhirnya bersetuju untuk diwawancara wartawan BM, ZAINULFAQAR YAACOB atas harapan ia boleh diikuti di qaryah-qaryah lain di negeri ini.

Beliau yang dimaksudkan adalah Ustaz Abdul Shukor Hassan, 50.

Sebelum berkhidmat sebagai tenaga pengajar agama di Politeknik Balik Pulau, Abdul Shukor pernah berkhidmat di Politeknik Seberang Perai.

20 tahun juga dalam perkhidmatan.

Abdul Shukor mempunyai seorang isteri dan enam orang anak dalam lingkungan usia 21 tahun hingga lima tahun.

“Di politeknik dulu pun ada buat program kebajikan, kebetulan dia dilantik menjadi ALK (Ahli Lembaga Koperasi Politeknik).

“Kita anjur program beri sumbangan tiap-tiap bulan kepada pelajar-pelajar yang layak, menggunakan duit tabung koperasi sekolah.

“Apabila kita keluar kepada masyarakat, kita anjur program serupa (Jejak Asnaf) dalam masyarakat pula,” ujarnya selepas pelancaran program Jejak Asnaf Fakir & Miskin Peringkat Qaryah Masjid Timah, yang dirasmikan sendiri oleh Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) baru-baru ini.

CABARAN

Menurut Abdul Shukor, program Jejak Asnaf itu asalnya dilaksanakan di peringkat Surau Taman Pauh Jaya di sini, sebelum diangkat menjadi program rasmi peringkat Qaryah Masjid Timah bermula pada April lepas.

Difahamkan, lebih setahun juga Program Jejak Asnaf itu dilaksanakan di peringkat surau berkenaan.

“Kita berjaya buat di sana (Surau Taman Pauh Jaya) tiap-tiap bulan selama setahun, kita berpindah ke sini (Masjid Timah) apabila keadaan di sana tidak mengizinkan.

“Kita yang semangat buat program ini orang nampak kita susah, padahal kita tak susahpun.

“Apabila diminta program ini dibatalkan di Surau Taman Pauh Jaya, semangat buat kerja kebajikan itu kita angkat program ini jadi program Qaryah Masjid Timah pula,” ujar Abdul Shukor.

Abdul Shukor merupakan Timbalan Pengerusi Surau Taman Pauh Jaya merangkap Ahli Jawatankuasa Qaryah Masjid Timah.

“Pengalaman di (Taman) Pauh Jaya ini sampai ada keluarga penerima tak ada makanan untuk buka puasa pada bulan Ramadan.

“Kita boleh tahu benda ini kerana mereka telefon dan kita tahu mereka memang benar-benar susah.

“Dalam bulan Ramadan ini, kita cadang nak laksana dua kali program Jejak Asnaf ini, iaitu pada awal Ramadan dan pertengahan bulan ibadah itu,” jelas beliau.

SEMANGAT

Abdul Shukor tersenyum apabila ditanya, “apakah yang menjadi sumbu semangat Ustaz melaksanakan program seumpama ini walau digalang pelbagai ujian?”

Abdul Shukor memberitahu, “mungkin dah memang muka saya ini muka orang kebajikan kot. Di sekolah (Politeknik Seberang Perai dulu pun, saya dilantik buat kerja kebajikan, di sini (Qaryah Masjid Timah) pun saya jaga kerja kebajikan.”

Katanya lagi, kerja kebajikan atau lebih tepat disebut aktivis kebajikan pun sebenarnya adalah kerja-kerja dakwah untuk memupuk masyarakat supaya kembali hidup dalam cara hidup Islam.

“Semangat buat kerja kebajikan boleh ada ini sebab nak bagi sumbangan wang ringgit, kita tak ada banyak.

“Jadi, kita pilih beri sumbangan buah fikiran, masa dan tenaga untuk kerja-kerja kebajikan macam program Jejak Asnaf ini,” nyata beliau.

Menerusi Program Jejak Asnaf ini, beliau berkata, kita boleh memelihara akidah umat Islam terutama yang hidup dalam keadaan miskin, dan kemiskinan ini boleh mendekatkan mereka kepada kekufuran hidup.

“Tak boleh sekadar bagi kuliah agama sahaja, kerana makan minum yang asas juga diperlukan oleh golongan penerima.

“Bagaimanapun, sebelum majlis sumbangan dilakukan, kita bagi juga kuliah Dhuha dan motivasi hidup kepada keluarga penerima,” kata Abdul Shukor.

Dakwah Non-Muslim Sebenarnya, Khalifah Umar al-Khattab sendiri pernah mengeluarkan fatwa bahawa zakat boleh diberikan kepada mereka yang masih belum Islam.

Berdasarkan pada maksud nas al-Quran pada ayat 60 dari Surah At-Taubah, Umar berpendapat bahawa non-muslim pun layak dibantu akan sebab kemiskinan mereka dan bukan atas sebab keagamaan masing-masing.

Firman Allah itu bermaksud, “Sesungguhnya zakat-zakat itu, hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, pengurus-pengurus zakat, para mu’allaf yang dibujuk hatinya, untuk (memerdekakan) budak, orang-orang yang berhutang, untuk jalan Allah dan untuk mereka yang sedang dalam perjalanan, sebagai suatu ketetapan yang diwajibkan Allah, dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.”

Imam Abu Yusof dalam kitab al-Kharaj menyebut bahawa Umar memperuntukan dari sumber Baitul Mal untuk warga Yahudi berasaskan firman Allah di atas, dan ijtihad itu dipegang dalam mazhab Hanafi.

“Setakat ini tiada lagi mu’allaf yang mohon untuk dipertimbangkan. Kalau selepas ini ada, kita akan pertimbangkan untuk mu’allafatul qulb (mereka yang belum memeluk Islam, tetapi berjinak-jinak dengan Islam),” ujar beliau.

HARAPAN

“Kita harap Majlis Agama (MAINPP) dan Zakat Pulau Pinang boleh bersama-sama hulur sumbangan, bersama menjayakan program Jejak Asnaf di Qaryah ini.

“Kalau dapat sumbangan dalam RM500 atau RM1,000 umpamanya tiap-tiap bulan, program Jejak Asnaf ini boleh dikembangkan lagi 40 penerima sekarang kepada 60 atau 70 penerima.

“Harapan saya, program ini sifat diteruskan. Selagi mana ada kelompok Asnaf Miskin, ada golongan kaya terpilih untuk menyumbang.

“Erti hidup adalah memberi,” kata Abdul Shukor.