Tiga pendekatan kukuh pendidikan negeri – KM

Admin

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

GELUGOR – Menyedari pendidikan merupakan tunjang pembangunan sesebuah negara bagi membina modal insan dan memacu pertumbuhan ekonomi, Kerajaan Negeri menggunakan tiga serampang pendekatan bagi mengukuhkan institusi pendidikan sedia ada di negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, bukan sahaja pendidikan boleh mengurangkan ketidaksamaan pendapatan, tetapi ia juga boleh menyediakan mobiliti sosial dan peluang ekonomi kepada semua. Oleh itu, jalan yang menjamin kepada kejayaan adalah sistem pendidikan yang kukuh.

“Kerajaan Negeri akan mengguna pakai pendekatan tiga serampang ke arah mengukuhkan pendidikan di negeri ini iaitu menyediakan pembiayaan tahunan kepada semua sekolah-sekolah vernakular dan sekolah agama.

“Kedua, membangunkan pusat pembelajaran dengan konsep STEM iaitu fokus utama menjurus kepada pembelajaran Sains, Teknologi, Bahasa Inggeris dan Matematik.

“Ketiga ialah menarik kemasukan universiti-universiti bertaraf dunia dan juga mengadaptasikan sistem vokasional Jerman dalam kalangan syarikat multinasional,” ujarnya sempena Perasmian Pusat Pembelajaran Pulau Pinang Karpal Singh dan Akademi Badminton Pulau Pinang di Jalan Kaki Bukit, di sini baru-baru ini.

Hadir sama, barisan penaja institusi berkenaan termasuk Pengerusi Yayasan ECM Libra, Datuk Sri Kalimullah Hassan, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon, Timbalan Ketua Menteri II,Profesor Dr. P. Ramasamy, barisan Exco dan balu kepada mendiang Karpal Singh, Gurmit Kaur.

Mengulas lanjut mengenai nama pusat berkenaan, Guan Eng menyatakan bahawa ia adalah cadangan pihak penaja sebagai memperingati dan mengenang jasa mendiang tokoh Ahli Parlimen Bukit Gelugor tersebut terhadap semangatnya dalam menegakkan kesaksamaan dan keadilan.

Kira-kira RM4 juta diperuntukan bagi membangunkan dua blok bangunan di atas sebidang tanah berukuran 2.63 ekar melalui model Perkongsian Awam-Swasta (PPP) yang bertujuan menyediakan belia dengan pilihan lebih baik bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran masing-masing.

Projek tersebut bakal melengkapkan sebuah perpustakaan,tujuh kelas bahasa dan tuisyen, enam hingga lapan gelanggang badminton serta kantin.

Secara keseluruhan, Pusat Pembelajaran Pulau Pinang Karpal Singh dan Akademi Badminton Pulau Pinang bakal memberikan khidmat kepada masyarakat dari segi penyediaan lokasi unik di mana pelajar kurang bernasib baik bakal mempunyai tempat sesuai untuk mengikuti kelas tuisyen dan mempelajari bahasa baru serta cemerlang dalam sukan badminton.

Antara bahasa yang akan diberi tumpuan ialah bahasa asing selain daripada Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Mandarin dan Tamil. Malah, penekanan terhadap kelas Sains serta Matematik juga bakal diimplementasikan.