BATU MAUNG – Sebanyak 4,261 set buku Koleksi Soalan Percubaan SPM disumbangkan oleh Etiqa General Takaful Berhad melalui dana wakalah zakat bernilai RM382,231.25 bagi kegunaan para pelajar
Muslim di sekolah-sekolah terpilih di seluruh negeri Pulau Pinang.
Selain itu, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata pihak Penerbit Mahir juga bermurah hati menyumbang sejumlah 383 set buku bernilai hampir RM2,000.
Katanya, sumbangan tersebut bertujuan menyantuni keperluan kelas yang mempunyai pelajar berbilang kaum serta agama di negeri ini.
“Sumbangan ini membolehkan guru-guru menggunakan bahan tersebut dalam kelas majmuk, supaya manfaatnya dapat dinikmati oleh semua pelajar tanpa mengira latar belakang.
“Usaha ini jelas memperlihatkan penerapan nilai ihsan dan hormat dalam kerangka Malaysia MADANI, yang menitikberatkan kesejahteraan dan
kebersamaan seluruh masyarakat,” ujarnya pada Majlis Serahan Koleksi Buku Latihan SPM dan Program Membaca Bersama TKM I dekat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Maung di sini pagi tadi.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Mohamad Dziauddun Mat Saad.
Bagi program Membaca Bersama TKM I, sebanyak 40 buah sekolah turut serta dalam program tersebut dengan SMK Batu Maung dipilih sebagai sekolah kedua selepas SMK Bayan Lepas yang menjadi perintis pada bulan April lalu.
Selaras dengan sumbangan tersebut, Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung mengungatkan mengenai kepentingan memupuk budaya membaca menerusi dalam menambahkan ilmu pengetahuan.
“Selain daripada menambah ilmu pengetahuan, ia juga dapat menepis anasir-anasir negatif terutamanya fitnah dalam media sosial,” katanya lagi.
Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS