Exco harap GRPB ‘acuan Pulau Pinang’ satukan tekad nasional

Admin
c9f477f0 6787 45f9 8199 72c0c57c50bd GAMBAR kenang-kenangan sekalian perwakilan yang menyertai Persidangan Kebangsaan Dan Rekayasa Neksus GRPB 2025 di Dewan Casablaca, Bertam Resort di sini pada 27 Oktober 2025.

BERTAM – Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim berharap penganjuran Persidangan Kebangsaan Dan Rekayasa Neksus GRPB 2025 bukan sekadar persidangan, malah menjadi titik penyatuan nasional.

58e0076a a8b1 4081 8de4 8d4e2fbbfd4b
LIM Siew Khim

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang berkata, Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) sejak tahun 2011 lagi telah menganjurkan bengkel pertama Bajet Responsif dan Penyertaan Gender (GRPB) dengan sokongan Kerajaan Negeri serta penglibatan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli akademik.

“GRPB bukan tentang wanita semata-mata; ia tentang keadilan, penyertaan, keseimbangan dan kemampanan dalam pembangunan.

“Prinsipnya mudah iaitu ‘kelompok berbeza, keperluan berbeza’ (yang mana) kita mengiktiraf bahawa keperluan wanita tidak sama dengan lelaki; bahawa warga emas dan belia memerlukan perhatian berbeza, dan bahawa setiap komuniti sama ada bandar dan desa mempunyai suara yang perlu didengar.

“Maka, Persidangan NEKSUS GRPB 2025 ini bukan sekadar platform perbincangan (malah) ia titik penyatuan nasional,” jelasnya yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa Kerja Neksus GRPB 2025 semasa berucap di sini pada 27 Oktober 2025.

Di samping itu, beliau menganggap persidangan kebangsaan hari ini penuh bermakna kerana turut menerima penyertaan perwakilan dari Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan Labuan, Johor, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Perak.

Secara telesidang, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, semasa beliau ditaklifkan sebagai Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan dan Tebatan Banjir pada tahun 2012 menyaksikan pelaksanaan agenda GRPB di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jalan Sungai dan PPR Rumah Pangsa Ampangan.

Walaupun projek perintis tersebut berskala kecil, beliau memberitahu bahawa ia telah membawa perubahan besar di kedua-dua kawasan perumahan berstrata tersebut.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming semasa menyampaikan perutusan secara telesidang turut menyatakan harapan bahawa usaha Kerajaan Negeri merintis jalan pelaksanaan GRPB lebih sedekad lepas akan turut menjadi sumbu inspirasi kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara.

“Tahniah kepada MBPP dan MBSP atas kejayaan model ‘GRPB – The Penang Model’ yang kini menjadi rujukan terbaik pada peringkat kebangsaan serta antarabangsa dan persidangan hari ini menandakan titik perubahan baharu dalam pentadbiran kerajaan tempatan menuju bajet inklusif, tatakelola telus dan Malaysia Madani yang berpaksikan rakyat,” jelasnya.

291bab5a 0282 4a2d acca d3faa973fe88
(Depan, dari kiri) MAIMUNAH Mohd. Sharif; Lim Siew Khim, dan Ong Bee Leng turut meluangkan masa melawat reruai sempena berlangsungnya Persidangan Kebangsaan Dan Rekayasa Neksus GRPB 2025 di sini menjelang tengah hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PWDC, Dato’ Ong Bee Leng yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa Kerja Neksus GRPB 2025; Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merangkap mantan Pengarah Eksekutif Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN Habitat), Dato’ Seri TPr. Dr. Maimunah Mohd. Sharif dan mantan Datuk Bandar MBSP, Dato’ Seri Sr. Rozali Mahmud turut sertai majlis persidangan kebangsaan tersebut.

 

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD