Exco komited selesaikan isu setinggan Batu Uban, RMKu di Teluk Kumbar ditawarkan

Admin
799412fc b86d 4637 ae07 c89999a1862b

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri hari ini melalui Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) senantiasa komited dalam menjaga kebajikan rakyat, terutamanya bagi penduduk yang mendepani isu pengosongan tanah dan kehilangan tempat tinggal.

Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo menyatakan bahawa pihaknya telah mengambil tindakan proaktif bagi menyelesaikan isu setinggan di kawasan Batu Uban, susulan dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A. Kumaresan dalam Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Kelima Belas sebelum ini.

Sundarajoo yang juga ADUN Perai memberitahu bahawa LPNPP sebenarnya menyediakan penyelesaian konkrit dengan menyediakan tawaran perumahan Rumah Mampu Milik (RMKu) Jenis B yang terletak di kawasan Teluk Kumbar untuk mereka yang berkenaan.

“LPNPP telah membantu menyediakan tawaran perumahan RMKu Jenis B bagi 11 penduduk yang terkesan akibat perintah pengosongan tanah di Batu Uban,” jelasnya dalam ucapan penggulungannya pada 13 Mei 2026.

Tambah beliau, Kerajaan Negeri juga bersiap siaga untuk membantu isu perpindahan serupa yang melibatkan projek pembangunan berimpak tinggi pada masa hadapan, termasuk projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara.

Menyentuh mengenai Projek Pembaharuan Semula Bandar (PSB) di Padang Tembak pula, Sundarajoo memaklumkan bahawa kajian bagi Rancangan Kawasan Khas (RKK) di kawasan tersebut tidak memperoleh kelulusan peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) Rolling Plan Kelima Tahun 2025.

Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa Kerajaan Negeri tidak akan berdiam diri dan akan mengambil langkah susulan termasuk mengemukakan rayuan kepada Kementerian Ekonomi melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Kajian RKK diperlukan bagi memastikan pelaksanaan PSB dijalankan secara holistik, merangkumi aspek perundangan, sosial, dan keselamatan,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Sundarajoo berkongsi kejayaan Projek PSB Mahsuri di Bayan Baru yang menjadi projek pertama di Pulau Pinang berjaya melaksanakan proses penamatan skim strata.

“Buat masa ini, pembinaan Fasa 1 (Blok Gantian) sedang giat dijalankan.

“Selain itu, LPNPP kini sedang meneliti potensi pembangunan semula Flat Hamna di Daerah Timur Laut, yang telah dibina sejak tahun 1993,” tambahnya.

Mengulas lanjut, Sundarajoo menyatakan bahawa pelaksanaan projek PSB bukan sekadar tentang struktur bangunan, tetapi merupakan agenda besar untuk meningkatkan kualiti hidup penduduk asal, melonjakkan nilai hartanah di kawasan sekitar dan mencetuskan impak positif dari aspek sosial, ekonomi serta kelestarian persekitaran.

“Usaha ini akan memberi limpahan manfaat ekonomi yang menyeluruh kepada seluruh rakyat Negeri Pulau Pinang,” katanya kepada Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Seri Law Choo Kiang.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD