Exco lawat bengkel bot terbakar di Penaga

PENAGA – Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin petang tadi melawat bengkel bot nelayan yang hangus terbakar dalam kejadian pada 30 Disember 2018 dekat Kampung Bakau Tua, Penaga.

Pada majlis sama, Pengerusi Persatuan Nelayan Seberang Perai, Mahadi Md. Rodzi turut menyerahkan sumbangan bantuan kepada pengusaha bengkel itu, Ismail Man, 52, dan Norazni Md. Shaffar, 41, iaitu pemilik sebuah bot kecil nelayan hangus dalam kejadian sama.

Afif memberitahu, bengkel bot itu dibina oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) untuk memenuhi keperluan nelayan-nelayan tempatan dan Ismail merupakan usahawan di bawah projek anak angkat agensi Persekutuan.

“Punca kebakaran adalah litar pintas.“

“Melalui Kerajaan Negeri dan agensi Persekutuan, LKIM, kita akan melihat bagaimana untuk membangunkan semula bengkel ini,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya pada majlis berkaitan.

Ustaz Muhasdey Muhamad, iaitu Pegawai Khas kepada Timbalan Ketua Menteri I Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri Penaga (PPK) Halil Salleh dan Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Pulau Pinang, Noraisyah Abu Bakar turut menyertai lawatan kerja di sini pada 3 Disember 2019.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD