Exco percaya kerjasama semua pihak mampu gerakan usaha sediakan kemudahan infrastruktur bagi kanak-kanak kanser

DR. Afif Bahardin (berbaju putih) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima sambil bertanyakan sesuatu baru-baru ini.

SEBERANG JAYA – Sebuah pusat kemudahan bagi pesakit kanser kanak-kanak yang dipohon Persatuan Sahabat Kanak-kanak Kanser Wilayah Utara sedang dalam pertimbangan, maklum Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin.

Katanya, kemudahan infrastruktur berkaitan bagi memberikan keselesaan kepada kanak-kanak yang menghidap kanser serta ibu bapa yang perlu menjaga mereka.

Saya amat gembira dengan inisiatif yang digerakkan ibu bapa melalui Persatuan Sahabat Kanak-kanak Kanser Wilayah Utara ini.

“Saya faham, kita menerima beberapa permohonan daripada ibu bapa yang perlu menjaga anak-anak istimewa ini dan ia sedang diusahakan untuk menyediakan permintaan tersebut.

“Diharap kerjasama yang berterusan dapat dijalinkan di antara persatuan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kerajaan Negeri,” ujar beliau ketika berucap pada Program Kembali Ke Sekolah anjuran persatuan berkenaan di sebuah pasar raya dekat Seberang Jaya baru-baru ini.

Hadir sama Pengerusi Persatuan Sahabat Kanak-kanak Kanser Wilayah Utara, Maznah Taib.

Pada majlis tersebut, seramai 70 orang kanak-kanak yang mengidap kanser menerima bantuan kelengkapan sekolah bagi memasuki sesi persekolahan yang dijadual bermula awal Januari 2019.

Tambah Afif, sungguh pun menghidap penyakit kanser, beliau yakin kanak-kanak tersebut mampu mencapai kejayaan yang sama dengan kanak-kanak normal lain.

Sekiranya diberi peluang dan ruang pembelajaran secukupnya, kanak-kanak ini juga boleh berjaya seperti kanak-kanak normal yang lain,” ujarnya.

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS