GEORGE TOWN – Silicon Island Development Sdn. Bhd. (SIDSB) selaku pemaju projek Pulau Silicon yang dilantik oleh Kerajaan Negeri hari ini telah melaksanakan analisis tambahan berkaitan kualiti air laut, susulan menerima aduan pencemaran di Pantai Esen.
Hasil analisis tersebut, Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo berkata didapati paras nitrat di kawasan terbabit adalah sangat tinggi, dan dipercayai berpunca daripada pencemaran dari kawasan hulu sungai khususnya akibat pembuangan air kumbahan domestik serta air basuhan tak terawat secara sempurna.
“Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Pulau Pinang akan melaksanakan Program Sungai Hijau yang bertujuan memulihkan kualiti air sungai dari kawasan hulu (supaya kembali) dalam keadaan baik.
“Kerajaan Negeri melalui SIDSB juga telah melantik seorang perunding alam sekitar iaitu Dr. Nik & Associates Sdn. Bhd. bagi menjalankan kajian menyeluruh dan mengemukakan cadangan (dalam bentuk) langkah-langkah mitigasi yang bersesuaian bagi jangka masa pendek serta panjang,” jelasnya semasa berucap dalam Sesi Penggulungan Exco sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 21 Mei 2025.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai itu lagi, SIDSB juga turut mengambil langkah-langkah proaktif lain termasuk menjalankan kerja-kerja pembersihan secara manual di kawasan pantai yang terjejas, di samping menganjurkan sesi libat urus dengan penduduk lokal serta para pemegang taruh berwajib.
“Pemantauan terhadap pelaksanaan tindakan ini sedang dikendalikan secara rapi oleh Penang Infrastructure Corporation Sdn. Bhd. (PICSB) iaitu anak syarikat Kerajaan Negeri yang dipertanggungjawab sebagai agensi pelaksana dan pemantau utama negeri berkaitan.
Terdahulu, ADUN Sungai Dua merangkap Ketua Pembangkang Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff dan ADUN Sungai Bakap, Abidin Ismail meminta Sundarajoo menjelaskan isu pencemaran Pantai Esen serta status ketelusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) yang diperoleh bagi projek Kerajaan Negeri sebelum ini.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS