GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri akan terus mengekalkan serta mempertingkat hubungan bandar berkembar (sister city) dan bandar sahabat (friendship city) dengan Pulau Pinang.
Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai berkata antara usaha yang dilakukan adalah melalui penerbangan sulung dari bandar berkembar Xiamen , Republik Rakyat China yang dilancarkan pada bulan September 2023 dan penerbangan sulung dari bandar sahabat Chengdu, Republik Rakyat China bermula April tahun ini.
Tidak sekadar itu sahaja, beliau berkata bahawa jadual penerbangan dari bandar berkembar Medan telah mencecah kekerapan tertinggi iaitu 45 kali seminggu pada bulan Mac tahun ini.
“Kerajaan Negeri turut menjemput penyertaaan bandar-bandar berkembar dan sahabat dalam acara sukan (antaranya) Pasukan Perahu Naga dari Xiameb dan Guangzhou, (Republik Rakyat) China untuk menyertai Penang International Boat Regatta 2024 di Straits Quay Marina sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China,” jelasnya dalam Sesi Soalan Lisan, Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 21 Mei 2025.
Dalam isu berkaitan, Hon Wai memberitahu bahawa Pulau Pinang merupakan negeri yang paling ramai perwakilan diplomat Konsul Jeneral dan Konsul Kehormat di Malaysia, selain dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
“Terdapat empat Konsul Jeneral di Pulau Pinang iaitu dari (Republik Rakyat) China, Indonesia, Jepun dan Thailand.
“Seramai 23 Konsul Kehormat di Pulau Pinang iaitu dari negara-negara berikut: Australia, Austria, Bangladesh, Belgium, Brazil, Kanada, Denmark, Fiji, Finland, Perancis, Jerman, Hungary, Nepal, Pakistan, Poland, Rusia, Afrika Selatan, United Kingdom, Ukraine, Tunisia, Chile, Sweden dan Kazakhstan,” jelasnya sebagai menjawab soalan ADUN Seri Delima, Tan Hooi Peng.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS