BERTAM – Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim hari ini berkesempatan menziarahi keluarga mangsa lemas dalam insiden terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang pada 18 November lalu.
Isteri mangsa, Nurul Natasha Amyra Ishak, 19, bersama anak-anaknya kini ditempatkan di sebuah rumah sewa berhampiran di kawasan ini buat sementara waktu.
Selain merakamkan ucapan takziah, Siew Khim turut menyampaikan sumbangan bagi meringankan beban keluarga yang masih bersedih dengan kejadian tersebut.
“Sebagai seorang ibu dan isteri, saya amat memahami emosi isteri mangsa yang sedang melalui kejutan, ketakutan dan rasa tidak berdaya.
“Syukur, ibu mertua dan adik-beradik mangsa turut memberikan sokongan moral serta membantu menguruskan keadaan keluarga.
“Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Seberang Perai Utara (SPU) juga sedang mengusahakan Bantuan Kanak-Kanak untuk memastikan kebajikan anak-anak mangsa terus terjamin.
“Saya turut menyarankan agar isteri mangsa memohon Bantuan Ibu Tunggal Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan bantuan Anak Emas bagi anak berusia lapan bulan serta bayi yang bakal dilahirkan nanti,” ujarnya ketika ditemui selepas ziarah berkenaan.
Hadir sama, Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah SPU, Aliya Nashrah Mohd Sabir; Pegawai Psikologi PKMD SPU, Nurhaniza Hashim dan Penolong Pegawai Psikologi PKMD SPU, Zulkifli Ismoin.
Dalam pada itu, Siew Khim turut menyerahkan sumbangan segera bernilai RM1,000 melalui Tabung Bantuan Segera Negeri (TBSN) JKM, berserta barangan keperluan asas kepada isteri mangsa yang sedang hamil lima bulan.
“Selain itu, isteri mangsa juga layak menuntut RM1,000 khairat kematian di bawah Program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bagi pihak suami.
“Bagi memastikan keluarga ini mendapat sokongan berterusan, pegawai psikologi JKM akan membantu isteri mangsa pulih daripada trauma.
“Manakala kaunselor JKM pula akan membimbing isteri mangsa memulakan perniagaan berskala kecil atau mencari sumber pendapatan sendiri demi masa depan anak-anak.
“Keluarga mangsa juga akan dirujuk kepada pihak Zakat Pulau Pinang untuk pertimbangkan bantuan kewangan tambahan bagi menampung kos harian dua anak kecil mereka,” jelas beliau.
Terdahulu, mayat arwah Elmi Nur Zamani Aizat Abdul Azim, 25, ditemui kira-kira jam 9.50 pagi pada 18 November 2025.
Menurut laporan, mayat ditemukan di Jeti Pelayaran dekat Pangkalan Weld, kira-kira lapan kilometer dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh.
Oleh: NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar: LAW SUUN TING