Exco serah surat tawaran rumah Projek Mekar Sari kepada 282 pemohon

BERTAM – Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo tengah hari tadi menyerahkan surat tawaran membeli Rumah Kos Rendah (Jenis A) dan Kos Sederhana Rendah (Jenis B) Projek Mekar Sari, kepada 282 pemohon.

Ketika berucap, Jagdeep memberitahu, menjelang 100 hari pentadbiran Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lalu, jumlah unit kediaman untuk semua kategori yang dibekalkan di negeri ini adalah hampir 29,000 buah.

“Ini menunjukkan kita (Kerajaan Negeri) memberi keutamaan pembekalan rumah kos rendah, kos sederhana rendah dan pelbagai jenis (kategori) rumah mampu milik (RMM).

“Jumlah unit kediaman yang telah dibina, sedang dibina dan akan dibina adalah hampir 80,000 unit (82,472) rumah kos rendah, kos sederhana rendah dan rumah mampu milik, untuk rakyat Pulau Pinang melalui Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan kerjasama dengan pihak (pemaju) swasta seperti Hunza dalam projek perumahan (Mekar Sari) ini,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat di Dewan Orang Ramai Pangsapuri Mekar Sari di sini pada 11 Ogos 2018.

Turut berucap, ADUN Bertam, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq dan Pengarah Urusan Kumpulan Hunza Properties Berhad (Hunza), Datuk Khor Siang Gin.

Hadir sama, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh yang juga ADUN Sungai Puyu.

Difahamkan, projek Mekar Sari yang terdiri oleh 141 RMM Jenis A dan 141 RMM Jenis B dimajukan oleh Tetuan Bandar Kepala Batas Sdn. Bhd, iaitu anak syarikat Hunza Properties Berhad.

Mengulas lanjut, Jagdeep menyatakan bahawa Kerajaan Negeri berharap konsep bina dan jual yang diamalkan oleh Hunza turut dicontohi pemaju-pemaju lain.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : G. REVATIC