Realisasi laluan khas basikal, kembangkan aktiviti berbasikal di Pulau Pinang

CHO Kon Yeow bersama kepimpinan Kerajaan Negeri melepaskan belon simbolik kepada perasmian laluan basikal khas dari Tanjung Tokong ke Padang Kota baru-baru ini.

TANJUNG BUNGA – Menjelang tahun 2020, sebanyak 200 kilometer (km) laluan berbasikal bakal disiapkan Kerajaan Negeri melalui Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), maklum Ketua Menteri, Y.A.B Chow Kon Yeow.

Katanya, terkini, laluan berbasikal sepanjang 180km ataupun 90 peratus laluan tersebut, sama ada laluan khas ataupun berkongsi sudah disiapkan.

“Setiap tahun, pihak Majlis berusaha menyiapkan bahagian demi bahagian (laluan berbasikal) ini dan rakyat Pulau Pinang pun boleh lihat ianya direalisasikan selama lapan hingga 10 tahun kebelakangan ini.

“Dalam satu dua tahun lagi kita (Kerajaan Negeri) akan siapkan sepenuhnya… saya harap ianya mampu mengembangkan aktiviti berbasikal di Pulau Pinang di samping menyaksikan negeri ini sebagai pulau mesra basikal dan menjalankan aktiviti-aktiviti yang sihat.

“Dengan menggalakkan aktiviti sihat, Pulau Pinang boleh menjadi negeri mampan, lestari dan mempunyai mutu kehidupan yang tinggi,” ujarnya pada Majlis Pelancaran Laluan Basikal dan Pejalan Kaki Dari Tanjung Tokong ke Padang Kota Lama di sini pagi tadi.

Hadir sama, Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil Khir Johari merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bunga; Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo; Datuk Bandar bagi MBPP, Dato’ Ar Yew Tung Seang; Setiausaha Bandaraya bagi MBPP, Ir Addnan Mohd. Razali dan wakil-wakil kelab-kelab berbasikal.

Maklum Kon Yeow, daripada 180km laluan yang sudah disiapkan, 40.4km adalah merupakan laluan khas yang lebih menjamin keselamatan penunggang basikal.

Bagi tahun 2018 sahaja, dimaklumkan Kerajaan Negeri sudah menyiapkan laluan bernilai RM16.38 juta dengan membina dan menaik taraf laluan basikal dan pejalan kaki dari Queensbay ke Bayan Baru (RM3.78 juta); pembinaan Jambatan Harapan (berdekatan Queensbay) merentangi Sungai Ara dan Sungai Nibong (RM8.9 juta) serta laluan Tanjung Tokong ke Padang Kota Lama (RM3.7 juta).

Difahamkan projek laluan Tanjung Tokong ke Padang Kota Lama yang dimulakan sejak Disember 2016 siap sepenuhnya pada April lalu.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : ALVIE CHENG