Exco sumbang lapan unit projektor bagi mudahkan proses pembelajaran murid khas

Admin
ZAIRIL Khir Johari (tengah) ditemani Eshamuddin Abd. Rahim (kiri) menyampaikan salah satu projektor kepada guru panitia dalam satu majlis ringkas pagi tadi.

TANJUNG BUNGAH – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bungah, Zairil Khir Johari hari ini menyumbangkan lapan buah projektor kepada Sekolah Pendidikan Khas Persekutuan, di sini.

Zairil berkata, sumbangan tersebut bernilai kira-kira RM12,400 hasil peruntukan beliau sebagai membantu memudahkan proses pembelajaran di sekolah berkenaan.

Melalui pemberian seperti ini apa yang paling penting ialah keterangkuman kepada semua, kita tidak mahu ada murid-murid yang keciciran walaupun di sekolah khas, kita (Kerajaan Negeri) mahu mereka turut menerima kualiti pendidikan yang sama dengan murid lain.

Usaha untuk memastikan keterangkuman pendidikan ini sangat penting dalam masyarakat kita… dan apabila saya dapat tahu tentang keperluan pendidikan, saya akan bantu,” ujar beliau ketika berucap di Dewan Khir Johari sekolah berkenaan yang dinamakan sempena nama arwah ayah Zairil sendiri.

Hadir sama, Pengetua Sekolah, Eshamuddin Abd. Rahim; Penolong Kanan Pentadbiran, Goh Phaik Keow dan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Hasanah Abdul Rahman.

Menutup ucapan, Zairil yang juga Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir mengajak semua warga pendidik dan pentadbiran sekolah tersebut untuk mengeratkan lagi hubungan bersama Kerajaan Negeri agar lebih banyak lagi bantuan yang mungkin boleh disalurkan selepas ini.

Sebelum itu, Eshamuddin ketika berucap berharap sumbangan tersebut dapat memberi manfaat kepada para guru dan murid-murid di sekolah berkenaan sekaligus menjadi pemangkin kejayaan dalam proses pembelajaran yang lebih sempurna.

Saya ucapkan terima kasih kepada YB (Zairil) yang sudi menyumbang projektor kepada pihak sekolah, namun saya tetap berharap bantuan-bantuan lain daripada Kerajaan Negeri contohnya keperluan asrama seperti katil, tilam, lokar yg telah rosak.

Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) pernah memohon kepada pihak-pihak hotel dan sebagainya namun tiada sambutan, jadi saya harap ianya dapat dipenuhi,” ujarnya.

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar: DARWINA MOHD. DAUD