Exco tepis dakwaan penyelewengan dana program baucar bantuan nelayan

Admin
c40eb3a9 5c28 4fd7 b146 d9bf38ca0ae6 RASHIDI Zinol (kiri) memberi penjelasan isu berbangkit dalam sidang media bersama-sama Jason H’ng Mooi Lye di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Lebuh Light pada 8 April 2026.

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri menepis tanggapan segelintir pihak yang mendakwa berlaku penyelewengan dana di sebalik kelewatan bayaran kepada syarikat pembekal peralatan perikanan yang terlibat dalam program baucar bantuan nelayan berdaftar, susulan laporan polis yang dibuat oleh pihak berkenaan hari ini.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan serta Keusahawanan, Dato’ Rashidi Zinol berkata, baki bayaran berjumlah RM207,000 yang lewat dijelaskan adalah berpunca daripada masalah teknikal dan prosedur tuntutan, bukannya salah guna dana.

“Kalau benar berlaku penyelewengan dana, baki RM207,000 yang belum dijelaskan kepada pembekal peralatan nelayan itu tidak mungkin dipulangkan semula oleh LKIM (Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia) kepada BPEN (Bahagian Perancang Ekonomi Negeri).

“Pembayaran tidak dapat dibuat selagi dokumen tidak lengkap, jadi saya telah meminta pegawai berkaitan membantu pihak pembekal peralatan nelayan supaya melengkapkan semua dokumen mengikut prosedur ditetapkan,” ujarnya kepada pemberita selepas Istiadat Perasmian Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 yang ditangguhkan pada tengah hari tadi.

Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Jason H’ng Mooi Lye turut menyertai sidang media ringkas tersebut di lobi Bangunan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang di sini hari ini.

Buletin Mutiara difahamkan, Kerajaan Negeri dengan kerjasama LKIM pada pertengahan tahun lalu meneruskan program pemberian baucar bantuan peralatan kepada nelayan berdaftar di negeri ini.

Bagi menjayakan program yang melibatkan peruntukan keseluruhan kira-kira RM500,000 itu, lapan syarikat pembekal kelengkapan nelayan dilantik bagi membolehkan penerima baucar bantuan menebus barangan yang telah disenaraikan dalam tempoh 60 hari sebelum program berkenaan tamat pada pertengahan tahun 2025.

Mengulas lanjut, Rashidi berkata, enam syarikat pembekal peralatan nelayan telah menerima bayaran daripada BPEN dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM293,000.

Sementara itu, jelas beliau, dua lagi syarikat pembekal peralatan nelayan dijangka menerima baki bayaran RM207,000 selewat-lewatnya Isnin depan sekiranya semua prosedur berkaitan, termasuk pengemukaan dokumen lengkap, dipenuhi dan diserahkan kepada pihak BPEN.

“Saya telah melantik seorang pembantu khas kepada bekas Exco yang terlibat dalam program pemberian baucar bantuan kepada nelayan berdaftar bagi mempercepatkan proses pembayaran baki RM207,000 yang dituntut ini,” katanya yang juga ADUN Sungai Acheh.

Rashidi turut menegaskan bahawa beliau baharu ditaklifkan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan pada awal Mac lalu dan tidak berdepan sebarang kekangan untuk membantu proses siasatan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), jika diperlukan kelak.

Paling penting, katanya lagi, adalah memastikan syarikat pembekal kelengkapan nelayan terbabit dapat menerima bayaran tertunggak tersebut secepat mungkin.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: SIEW CHIA EN