Cadangan pulih semula tapak lupus sampah Jelutong masih diteliti, kata Exco

Admin
976d096d 47a7 406a 9dd9 fa3bd8ea7f7a JASON H’ng Mooi Lye (kiri) memberi penjelasan isu berbangkit dalam sidang media bersama-sama Rashidi Zinol di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Lebuh Light pada 8 April 2026.

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri menerusi Perbadanan Pembangunan Negeri Pulau Pinang (PDC) masih meneliti cadangan projek pemulihan semula Tapak Pelupusan Sampah Jelutong di sini.

Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye berkata, antara aspek teknikal yang sedang disemak ketika ini termasuk permohonan pelanjutan tempoh (EOT) oleh pengendali tapak berkenaan, PLB Engineering.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi turut menjelaskan bahawa Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada 2 Mac lalu tidak meluluskan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekitar (EIA) bagi projek pemulihan tapak tersebut berikutan beberapa isu teknikal yang masih belum diselesaikan.

“JAS telah menolak permohonan EIA tersebut dan meminta pihak kontraktor mengemas kini serta memenuhi beberapa syarat teknikal yang masih belum lengkap,” katanya kepada pemberita selepas Istiadat Perasmian Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 yang ditangguhkan pada tengah hari tadi.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan serta Keusahawanan yang juga ADUN Sungai Acheh, Dato’ Rashidi Zinol turut menyertai sidang media ringkas tersebut di lobi Bangunan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mooi Lye berkata, PLB Engineering telah menghantar semula permohonan EIA yang ditambah baik mengikut syarat ditetapkan oleh JAS baru-baru ini untuk proses penilaian semula.

“Kami (Pihak Berkuasa Negeri) masih menunggu laporan lengkap daripada PDC berhubung permohonan pelanjutan tempoh tersebut.

“Laporan ini dijangka dibentangkan dalam mesyuarat Exco Kerajaan Negeri pada 20 Mei ini,” jelas beliau.

Tambahnya lagi, pihak kontraktor turut mencadangkan perubahan skop projek, termasuk kemungkinan membangunkan taman rekreasi awam di atas tapak pelupusan sampah tersebut.

Penjelasan Mooi Lye itu sekali gus menjawab desakan sekumpulan penduduk yang menamakan diri mereka sebagai ‘Protect Karpal Singh Drive’ pada 30 April lalu.

Kumpulan tersebut menggesa Kerajaan Negeri membatalkan projek pemulihan dan penambakan tanah itu memandangkan JAS telah menolak permohonan EIA buat kali kelima baru-baru ini.

Mereka turut mencadangkan supaya sebuah taman rekreasi awam diwujudkan di kawasan tersebut seperti yang pernah dijanjikan sebelum ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: SIEW CHIA EN